Kasim bergambar bersama pegawai-pegawai utama UMS dan pengerusi- pengerusi kluster penyelidikan dan inovasi yang menerima watikah pelantikan.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkasa ekosistem penyelidikan dan inovasi dengan memperkenalkan kluster penyelidikan dan inovasi.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, inisiatif tersebut merupakan satu pendekatan strategik universiti dalam meningkatkan keterampilan UMS dalam kecemerlangan penyelidikan dan inovasi.

“Empat kluster yang ditubuhkan ini ialah Kluster Kejuruteraan dan Teknologi; Kluster Alam Sekitar dan Sains Gunaan; Kluster Perubatan dan Sains Hayat; dan Kluster Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan.

“Penubuhan kluster ini adalah berdasarkan kepada kekuatan kepakaran UMS yang terdapat di dalam universiti agar penyelidikan dan inovasi yang berjalan adalah bersifat komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran Dasar dan Dana Kluster Penyelidikan UMS di Auditorium Galeri Azman Hashim, pagi tadi.

Kasim menambah, melalui kluster penyelidikan dan inovasi tersebut, UMS diyakini mampu meningkatkan kualiti penyelidikan dan inovasi serta menambah keupayaan universiti dalam menjalankan aktiviti- aktiviti penyelidikan yang lebih berkesan dan menyeluruh.

“Justeru, saya menyeru agar semua pihak untuk terus memberikan sokongan kepada ekosistem penyelidikan dan inovasi UMS.

“Kita perlu bekerjasama dalam memastikan penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan oleh para penyelidik kita serta kolaborasi dengan institusi- institusi penyelidikan lain dapat diaplikasikan secara meluas bagi membawa manfaat kepada masyarakat dan negara,” kata Kasim.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly memberitahu, kluster penyelidikan dan inovasi menekankan tiga ciri utama melalui aktiviti yang dirancang dan dijalankan.

“Antaranya perancangan hala tuju penyelidikan dan inovasi yang menyeluruh namun berfokus mengikut konteks setempat, dengan perhatian diberikan kepada permasalahan dalam negeri sabah dan negara.

“Selain itu, kecemerlangan penyelidikan dan inovasi perlu seiring dengan platform penarafan kebangsaan dan antarabangsa seperti MyRA dan QS ranking.

“Hasil penyelidikan dan inovasi juga ditingkatkan meliputi pelbagai disiplin melalui jaringan kerjasama pelbagai entiti yang memberi impak kepada masyarakat,” katanya.

Ujar Rosalam, sekiranya dasar tersebut dilaksanakan dengan baik, UMS bukan sahaja mampu menghasilkan hasil penyelidikan berimpak yang berguna untuk masyarakat sekeliling, malah turut mampu memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan negara, khususnya negeri Sabah. – MalaysiaGazette