Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan dipanggil polis untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung penganjuran program Jom Ziarah Gereja.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, setakat ini, pihaknya sudah menerima dua laporan polis berkaitan isu berkenaan iaitu oleh Setiausaha Politik Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dayangku Norhazwani Awangku Marsal dan Che’gu Bard.

“Kita juga akan merakam keterangan Che’gu Bard (Badrul Hisham Shaharin) hari ini bagi membantu siasatan.

“Kita sudah merakam keterangan tiga individu terdiri daripada pengadu dan dua wakil NGO bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.

Semalam media melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim mengesahkan pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan berhubung penganjuran program Jom Ziarah Gereja.

Katanya, walaupun program itu sudah dibatalkan, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung program berkenaan.

Pada 14 Mac lalu, Hannah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat menjelaskan, program Jom Ziarah Gereja  tidak membabitkan individu beragama Islam.

Program itu adalah satu inisiatif bawah ‘Projek Artikel 11’ diterajui Impact Malaysia, iaitu NGO yang bernaung di bawah KBS.

Inisiatif program itu dikatakan bertujuan membuka minda belia Malaysia mengenai budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa melalui lawatan serta aktiviti sukarelawan di Lembah Klang.

Bagaimanapun, program yang dijadualkan berlangsung di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang dibatalkan oleh pihak penganjur. – MalaysiaGazette