KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Dewan Rakyat Parlimen ke-15 yang baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang membentangkan usul itu berkata, ia merangkumi JKPK Kewangan dan Ekonomi, JKPK Kesihatan serta JKPK Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian.
Selain itu, kata beliau, turut terlibat adalah JKPK Infrastruktur Pengangkutan dan Komunikasi, JKPK Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, JKPK Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat serta JKPK Alam Sekitar, Sains dan Perladangan.
Jelas Azalina, penubuhan 10 JKPK itu adalah hasil mesyuarat Jawatankuasa Pemilih pada 21 Februari serta 2 dan 13 Mac lalu yang mengandungi beberapa syor jawatankuasa untuk diterima majlis.
“JKPK Keselamatan, JKPK Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa serta JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.
“Mengikut Peraturan Mesyuarat 86(5), Penyata Jawatankuasa Pemilih yang dibentang di meja mesyuarat dalam Dewan ini sebagai Kertas DR.2 tahun 2023 hendaklah diterima dan dipersetujui,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Pelantikan JKPK itu dibuat Jawatankuasa Pemilih yang diketuai Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul bertindak sebagai pengerusi, turut dianggotai enam ahli jawatankuasa.
Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya), Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (PH-Seremban) dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (PH-Pandan).
Selain itu, ia turut dianggotai Azalina (BN-Pengerang), Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).
Beliau dalam masa yang sama turut berkata, JKPK akan berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kementerian berkaitan. – MalaysiaGazette