Khazanah Nasional
Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd mencatatkan keuntungan daripada operasi yang lebih tinggi iaitu RM1.6 bilion bagi tahun kewangan 2022 berbanding RM670 juta yang direkodkan pada tahun kewangan 2021 walaupun pasaran global yang mencabar dan tidak menentu.

Pengarah Urusan Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, prestasi keuntungan yang lebih memberangsangkan itu disumbangkan terutama oleh aktiviti pengewangan dan rosot nilai yang lebih rendah dalam portfolio.

“Wujud kebimbangan yang berterusan bahawa persekitaran inflasi dan keadaan monetari yang mengetatkan akan membawa kepada kemelesetan global, semakin buruk apabila ditambah dengan risiko geopolitik yang berlarutan.

“Walau bagaimanapun, pendekatan pelaburan berdisiplin Khazanah berpandukan Peruntukan Aset Strategik jangka panjang dan pengurusan portfolio aktif kami telah membantu mengharungi ketidaktentuan dalam pasaran, di samping mengekalkan disiplin dalam penciptaan nilai dan usaha pengewangan kami,” katanya semasa taklimat media mengenai prestasi kewangan 2022 Khazanah di sini, pada Selasa.

Dana kekayaan negara itu mengisytiharkan dividen RM500 juta bagi 2022 kepada kerajaan, menjadikan dividen terkumpul yang diisytiharkan sejak 2004 kepada RM17.1 bilion.

Amirul Feisal berkata hutang Khazanah meningkat sedikit kepada RM49.1 bilion daripada RM48.5 bilion pada tahun sebelumnya, manakala Nilai Aset Boleh Direalisasi (RAV) berbanding nisbah hutang kekal sihat pada 2.7 kali dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jangka panjang 3.0 hingga 4.0 kali.

Beliau berkata Nilai Aset Bersih (NAV) menyaksikan penurunan sebanyak 5.0 peratus daripada RM86 bilion pada 2021 kepada RM81 bilion pada 2022 disebabkan oleh aliran menurun pasaran global.

Khazanah menyalurkan RM6.6 bilion untuk pelaburan baharu dan memperoleh RM2.5 bilion daripada pengewangan aset, katanya.

Beliau berkata bagi Dana Impak pula, projek bernilai RM500 juta telah dikenal pasti merentas pelbagai bidang impak, yang bertujuan membina daya tahan negara dan peluang pertumbuhan baharu.

“Bidang utama termasuk agrimakanan dan peningkatan kemahiran digital modal insan serta komitmen dalam menyokong usahawan dan ekosistem modal teroka,” katanya.

Mengulas berkaitan pendedahan Khazanah kepada Silicon Valley Bank, Amirul Feisal berkata dana itu tidak mempunyai pendedahan langsung, dengan impak tidak ketara, ke atas pelaburannya susulan kejatuhan pemberi pinjaman Amerika Syarikat itu yang sebahagian besarnya terikat dengan ramai peserta industri teknologi.

“Kami tidak mempunyai pendedahan langsung seperti tiada pegangan saham, tiada pegangan bon, tiada deposit, dan tiada pinjaman.

“Pendedahan tidak langsung pula adalah tidak ketara setakat yang kami ketahui namun, kami meneliti implikasi ke atas pasaran umum (seperti) SNP500 (syarikat) dan pasaran global…hal itu adalah sesuatu yang kami akan terus pantau,” katanya.

Beliau berkata keadaan dan langkah yang sama juga diambil bagi pemberi pinjaman antarabangsa lain, Credit Suisse.

Pada 2022, pelaburan Khazanah dalam pasaran awam Malaysia berjumlah 55.9 peratus daripada jumlah portfolionya, pasaran persendirian Malaysia (9.2 peratus), pasaran awam global (13.4 peratus), pasaran persendirian global (13.5 peratus) dan aset sebenar ( 8.0 peratus).

Dalam melangkah pada 2023, Amirul Feisal berkata Khazanah menjangkakan ketidaktentuan merentas pasaran global akan berterusan termasuk di Malaysia, dan tanda-tanda pertumbuhan mungkin berlaku dalam bentuk pembukaan semula China dan paras inflasi mereda.

“Walaupun wujud ketidaktentuan, Khazanah tetap optimistik dari segi mengenal pasti peluang pelaburan dalam aliran global yang sedang pesat membangun,” katanya. — BERNAMA