Kylian Mbappe. Foto TEAMtalk.com.

LONDON – Penyerang sensasi, Kylian Mbappe diumumkan sebagai kapten Perancis baharu bagi menggantikan Hugo Lloris yang bersara daripada bola sepak antarabangsa,

Pemain Paris Saint-Germain menjadi pilihan pengendali, Didier Deschamps selepas Lloris yang juga penjaga gol Tottenham menamatkan karier antarabangsanya pada Januari selepas tewas di final Piala Dunia sebulan sebelum itu.

Lloris, 36, menjadi kapten lebih sedekad untuk skuad kebangsaan Perancis.

Sementara itu, penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann dinamakan sebagai penolong kapten selepas bek tengah Manchester United, Raphael Varane turut bersara susulan kekalahan di tangan Argentina pada Disember.

Bekas penyerang Monaco itu menjadi penolong kapten di PSG kepada pemain Brazil, Marquinhos dan memimpin pasukannya ketika ketiadaan pertahanan itu semasa kekalahan kepada Rennes Ahad lalu.

Perlawanan pertamanya sebagai kapten ialah pada aksi kelayakan Euro 2024 menentang Belanda di Stade de France, Jumaat ini selepas tampil 66 kali untuk negaranya. – Agensi