Majlis Kempen Ramadan Anugerah Terindah PPZ (MAIWP) yang di lancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP; Hj Abdul Hakim Amir Osman yang belangsung di Dewan Al-Qardhawi, Wisma PPZ Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan sebanyak RM191 juta pungutan zakat harta, fitrah dan wakaf sepanjang Ramadan ini menerusi Kempen Ramadan Anugerah Terindah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kutipan itu dijangka diperoleh daripada 1,807,300 pembayar zakat di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Katanya, kempen tahunan itu turut menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pembayar zakat sepanjang bulan mulia ini yang bermula 23 Mac hingga 21 April 2023.

“Kita menetapkan sasaran RM175 juta untuk pungutan zakat harta daripada 206,000 pembayar iaitu naik sebanyak 19 peratus berbanding jumlah kutipan 2022.

“Manakala zakat fitrah pula adalah RM13.8juta daripada 1.6 juta pembayar dan wakaf pula yang baru dilancarkan pada Disember tahun lalu sebanyak RM2.2 juta daripada 4,300 pembayar,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman pada Majlis Kempen Ramadan Anugerah Terindah PPZ (MAIWP) yang belangsung di Dewan Al-Qardhawi, Wisma PPZ Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Anugerah Terindah di Wisma PPZ Taman Shamelin, di sini, hari ini.

Sepanjang kempen itu berlansung, PPZ-MAIWP menawarkan lebih 1,000 hadiah menarik termasuk pakej umrah bagi mengalakkan pembayar zakat menunaikan rukun Islam kelima pada Ramadan.

Abdul Hakim berkata, pembayar yang ingin menunaikan zakat harta menerusi mana-mana saluran pembayaran PPZ-MAIWP berpeluang memenangi hadiah utama iaitu pakej umrah.

Pihaknya juga menawarkan cabutan bertuah berupa set solat ekslusif, jam Buruj, tujuh telekung dan sejadah ekslusif serta rehal ekslusif.

Dalam pada itu, PPZ-MAIWP juga menganjurkan pelbagai program dan aktiviti menarik antaranya Vibe Ramadan Tadabbur Al-Quran, bual bicara, program turun padang dan kuiz interaktif zakat.

“Vibe Ramadan Tadabbur Al-Quran merupakan perkongsian ilmu yang diadakan setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 9 pagi bersama penceramah terkenal.

“Antaranya Ustaz Don Daniyal Biyajid dan Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang l di platform Facebook dan Youtube PPZ-MAIWP.

“Selain itu, PPZ-MAIWP turut menawarkan cenderahati istimewa seperti sampul raya dan produk asnaf, serta sijil wakaf kepada 4,000 pembayar zakat harta terawal di kaunter PPZ-MAIWP.

“Tawaran ini hanya melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette