JOHOR BAHRU – Jumlah peguam syarie di negeri ini berkurangan saban tahun disebabkan kelemahan calon dalam kemahiran membaca tulisan Jawi.
Ia didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid sambil menyatakan kelemahan itu menyebabkan calon kurang memahami kehendak soalan terutama melibatkan soalan peperiksaan bertulis.
Untuk itu, katanya, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil inisiatif melakukan penambahbaikan dengan cara membukukan soalan-soalan tahun lepas sebagai rujukan calon menghadapi peperiksaan.
Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap pada sesi soal jawab sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini hari ini.
Perkara itu menjawab persoalan Rashidah Ismail (BN-Pasir Raja) berhubung apakah punca pengambilan peguam syarie di negeri ini menurun setiap tahun sedangkan jumlah permohonan diterima banyak.
Kata Mohd Fared, calon yang berminat mendapatkan buku soalan terlibat boleh mendapatkan melalui medium yang akan diumumkan MAINJ dalam masa terdekat.
“Kerajaan negeri juga mencadangkan agar Persatuan Peguam Syarie Negeri Johor menganjurkan kursus persediaan peperiksaan kepada calon peperiksaan peguam syarie di negeri ini,” katanya.
Sebelum ini, MAINJ telah menetapkan calon peguam syarie berkualiti haruslah melepasi markah 60 peratus dalam peperiksaan berkaitan.
Ini bagi membolehkan peperiksaan bertulis untuk calon layak memasuki peringkat seterusnya.
Manakala bagi peringkat temuduga, katanya, calon perlu melepasi markah 80 peratus untuk lulus dan markah penilaian itu akan dibawa ke jawatankuasa peguam syarie untuk dibentangkan.
“Jika lulus, maka calon yang layak akan dimajukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peguam Syarie untuk mendapatkan pengesahan lantikan.
“Untuk rekod, seramai 87 calon telah memohon menjalani peperiksaan bertulis peguam syarie pada tahun lepas dan difahamkan hanya seorang calon yang lulus dan setakat ini dan hanya 92 orang peguam syarie sudah menerima Sijil Peguam Syarie serta Sijil Amalan Guaman Syarie,” ujarnya. – MalaysiaGazette