Datuk Seri Mohd Sharkar Haji Shamsudin.- DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sesi 2023 hingga 2026 mengadakan mesyuarat pertama hari ini bermula pukul 2 petang.

Mereka yang dipilih dalam pertandingan yang berlangsung Sabtu lalu mula tiba ke ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn pada pukul 12.30 tengah hari.

Salah seorang pemimpin yang terpilih Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, antara agenda mesyuarat pertama adalah majlis angkat sumpah ahli yang baru dilantik.

Katanya, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga dijangka akan mengariskan hala tuju baharu serta mengemukakan beberapa topik yang perlu diberi tumpuan terutama untuk berhadapan dengan pilihan raya di enam buah negeri.

“Ini juga menjadi majlis suai kenal ahli MKT baharu dan lama. Tapi semua dah kenal. Yang betul-betul baharu hanya tiga orang sahaja.

“Kedua, mungkin Presiden UMNO akan melantik ahli majlis tertinggi tambahan dan sebagainya,” kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang itu.

Empat muka baharu dalam MKT adalah Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Mohd Rafi Alli Hassan, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Dr. Muhamad Akmal Saleh yang terpilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Dalam pemilihan yang melibatkan 189 bahagian itu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Abdul Ghani dipilih sebagai Naib Presiden UMNO yang baharu.

Turut terpilih Menteri Luar Datuk Seri Zamry Abd. Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast