Hoorrey X Fest Raya
Ketua Pegawai Eksekutif Asia Global Entertainment (International) Sdn Bhd, Datuk Mohammad Alif Hakim menunjukkan gegantung festival jualan Hoorrey X Fest Raya di pejabatnya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

KUALA LUMPUR – Pendekatan Malaysia Madani yang berkonsepkan ‘Rahmah’ dalam hampir semua program kerajaan yang mengutamakan kebajikan golongan miskin dan berpendapatan rendah (B40) kian mendapat sambutan daripada rakyat.

Walaupun konsep itu bermula dengan Menu Rahmah, namun usaha untuk membantu rakyat berdepan dengan kenaikan kos sara hidup itu, kini dilihat semakin diterima pemain industri dalam perniagaan mereka.

Kini pemain industri dilihat berebut-berebut menerapkan konsep ‘Rahmah’ dalam salah satu aktiviti perniagaan mereka, apatah lagi menjelang bulan puasa yang bakal disambut umat Islam kurang 48 jam dari sekarang.

Festival beli-belah, Hoorrey X Fest Raya anjuran Asia Global Entertainment (International) Sdn Bhd, salah satu inisiatif swasta yang menawarkan harga borong dalam tempoh 72 jam tanpa henti, bermula 19 April 2023.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohammad Alif Hakim berkata, festival yang lebih dikenali sebagai Bazar Aidilfitri itu dianjurkan tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri itu bagi memberi pilihan kepada orang ramai berbelanja pada harga borong.

Menurut beliau, pihaknya menawarkan pakej tapak niaga mampu milik iaitu “Booth Rahmah” serendah RM1,500 untuk tempoh 72 jam kepada semua kategori peniaga.

Jelasnya, ia bagi memastikan setiap barang keperluan Aidilfitri yang dijual di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 19 hingga 21 April 2023 itu kekal rendah dari harga pasaran dengan tidak mensyaratkan pembelian secara pukal.

“Sebenarnya harga barang yang dijual sepanjang Hoorrey X Fest Raya ini jauh lebih rendah daripada ‘Jualan Rahmah’ yang diperkenalkan pemain industri hari ini.

“Boleh dikatakan harga borong (Hoorrey X Fest Raya) kita boleh mengalahkan Jualan Rahmah, tapi terhad dalam tempoh tiga hari sahaja, sehingga malam raya nanti.

“Tinjauan kami mendapati, harga booth yang kita tawarkan paling murah serendah RM1,500 dan mampu milik, berbanding bazar Aidilfitri lain di sekitar Kuala Lumpur,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Selain Booth Rahmah, pihaknya juga menyediakan pakej ruang niaga kepada syarikat korporat dan berskala besar, mengikut lokasi “hotspot” yang menjadi tumpuan orang ramai setiap kali festival diadakan.

“Kita ada tiga kategori, iaitu RM1,500; RM3,500 dan juga RM12,000. Pakej paling mahal ini ialah booth pulau berukuran 20″ x 20”, biasa disewa oleh penaja jenama kereta dan syarikat korporat yang memerlukan saiz luas.

“Bagi lot RM3,500 pula, walaupun sama saiz dengan Booth Rahman, namun harga ruang niaga mahal sedikit ia dalam kategori sebagai super lot.

“Kenapa tempat-tempat itu mahal, dia ada ‘hot space’ contoh tempat keluar, tempat sesak, tempat orang tergelincir, jadi tempat itu akan jadi hotspot untuk pembelian atau ikut lokasi strategik,” jelasnya.

Bagi memeriahkan jualan Hoorey X Fest Raya ini, pihaknya turut melibatkan seramai 100 artis popular tanah air dan juga mendapat kerjasama penuh daripada Kelab Usahawan Selebriti Malaysia (KUSM) serta Artist Corner.

Antara artis yang terlibat ialah Lann A To Z, Wan Scoin, Jaafar Onn, Ayie Floor 88, Amer Forteen, Elyana, Aidil Aziz, Risteena, Izzue Islam, Rina Eva, Anne Abdullah, Farah Wahida, Car Farish, Ayu Damit, Soffi Jikan, Rahmat Mega, Sasha Aziz, Amir Chik dan ramai lagi.

Alif berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk bersaing dengan mana-mana pihak yang sebelum ini pernah menganjurkan festival seumpamanya, dengan tidak menumpukan sebarang sasaran pengunjung.

“Kami cuma mahu memberi peluang kepada usahawan termasuk artis dan selebriti untuk menjalankan perniagaan masing-masing tanpa had masa selama tiga hari ia diadakan,” katanya.

Sementara itu, katanya, acara menarik lain turut diselitkan seperti Infaq Ramadan Hoorrey berbentuk jamuan berbuka puasa, moreh, sumbangan kelengkapan dan duit raya serta program sahur secara beramai-ramai di WTC.

“Ia juga menjadi antara acara yang paling ditunggu kerana Ustaz Ebit Liew dijangka hadir dalam program Infaq Ramadan kerana belum ada lagi program seperti itu diadakan di tapak festival.

“Kami mahu semua orang hadir untuk bersama-sama merasai sendiri pengalaman bersahur beramai-ramai, kerana ini juga antara inisiatif membantu artis yang sedang diuji seperti Zamani Slam dan Yantzen.

“Ia juga akan menjadi satu daripada sasaran kami untuk tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Majlis Perasmian dijangka disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Boy di talian 011-3573 3060, Zai (010-2620078) dan Shawn (011-5550 5017). – MalaysiaGazette