Maszlee Malik.- foto SYAFIQ AMBAK, 23 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Prof. Dr. Maszlee Malik memberikan pautan Google Scholar kepada pihak yang mempertikaikan kelayakannya berikutan dilantik menjadi pensyarah di sebuah universiti.

Maszlee yang juga pemimpin parti Pakatan Harapan berharap, pautan berkenaan boleh dijadikan rujukan kepada pihak terbabit.

Menurut Maszlee, pautan berkenaan mengandungi senarai kajian yang telah dilakukannya sebelum ini dan berharap ia boleh memberi manfaat kepada ahli akademik.

“Mengajar di Universiti? Terdapat netizen dan cytro yang mempersoalkan kelayakan saya untuk kembali mengajar di universiti.

“Saya harap pautan dari Google Scholar di bawah ini boleh membantu mereka untuk mengenali kajian-kajian saya dan juga impaknya dalam dunia akademia.

“Meskipun saya yakin mereka tidak memahami persoalan akademik dan sembrono dalam memberikan cacian dan tohmahan, namun pautan ini boleh dijadikan rujukan oleh para pengkaji, penuntut paswa-siswazah dan juga para pensyarah,” katanya.

Sebelum ini Maszlee berkongsi berita pelantikannya sebagai pensyarah di University Cyberjaya.

Beliau diberikan pengkhususan dalam bidang berkaitan sains sosial dan pendidikan.

“Kembali mengajar. Terima kasih University of Cyberjaya di atas kepercayaan yang telah diberikan.

“Saya akan memberikan kuliah tajuk-tajuk berkaitan dengan sains sosial dan pendidikan,” kata Maszlee.

Pada pilihan raya umum ke-15 Maszlee gagal mempertahankan kerusi Parlimen Simpang Renggam yang dimenangi pada PRU-14.

Beliau tewas kepada bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dengan memperoleh 16,491 undi. – MalaysiaGazette