Datuk Ewon Benedick

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan hasil jualan sebanyak RM2.5 juta menerusi program Kempen Mari Beli Lokal Ramadan & Raya dalam platform e-dagang MyMall.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata,  seramai 1,000 usahawan tempatan dijangka menyertai kempen tersebut bagi menyemarakkan penglibatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi platform dalam talian.

Ia termasuk penggunaan produk-produk keluaran usahawan tempatan.

Jelas Ewon, dalam kempen yang akan berlangsung selama sebulan sehingga 22 April depan, tawaran melibatkan 803 produk seperti pes masakan segera, produk runcit, pakaian raya dan kuih raya.

“Pelancaran Kempen Mari Beli Lokal Ramadan & Raya ini bertujuan menarik sokongan orang ramai kepada produk tempatan yang dikeluarkan usahawan Malaysia.

“Kempen ini bertujuan memberi sokongan terhadap produk dan perkhidmatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, dan secara tidak langsung membantu proses pendigitalan PMKS di Malaysia.

“KUSKOP komited untuk memastikan peningkatan sebanyak 20 peratus usahawan tempatan yang menggunakan MyMall ini dan RM2.5 juta hasil jualan dapat dijana melalui kempen ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Mari Beli Lokal Ramadan dan Raya, di Malaysia Grand Bazaar di sini hari ini.

Mari Beli Lokal juga disertai usahawan selebriti terkenal seperti Lima Waktu, 7zikr, KEKASIH by The Melvins, Aspirasi Jelita Ainina Ahmad B, Girl’s Republik, SamTilla, Starvendors dan Boenda.

Dalam ucapannya, Ewon turut menyeru kepada semua usahawa tempatan untuk memanfaatkan peluang ini dan turut melibatkan diri di dalam kempen itu.

Kata beliau, MyMall bukan hanya sekadar platform e-dagang malah merupakan platform pembangunan ekosistem keusahawanan bersepadu yang turut menawarkan khidmat latihan, pembiayaan dan pemasaran.

“Yang paling penting ia adalah percuma. MyMall turut menawarkan akses terhadap pembangunan kapasiti, pembiayaan perniagaan dan pemasaran kepada usahawan dan koperasi tempatan,” katanya.

Platform e-dagang My Mall yang dibangunkan Oktober tahun lepas kini mempunyai kira-kira 7000 usahawan dengan 900 produk. – MalaysiaGazette