KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menempelak pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang berterusan mengkritik Ops Lalang.
Mahathir berkata, bagaimanapun pemimpin parti itu menerimanya sebagai calon Perdana Menteri apabila langkah tersebut menepati dengan kehendak mereka untuk menjadi kerajaan.
“Parti-parti dalam Pakatan Harapan selalu menyalahkan saya atas Ops Lalang.
“Tetapi apabila ia bertepatan dengan objektif mereka, mereka dengan senang hati menerima saya sebagai rakan sekerja dan juga sebagai calon untuk menjadi Perdana Menteri mereka,” kata Dr. Mahathir.
Dalam kenyataan terbaharu, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak pernah mengarahkan kepada pihak polis untuk melaksanakan operasi yang kontroversi itu apabila beratus termasuk pemimpin pembanghkang ditahan tanpa mendapat perbicaraan adil pada 1987.
Dr. Mahathir berkata, sebagai seorang Perdana Menteri pada ketika itu, beliau perlu mendengar nasihat polis.
“Mereka bertanggungjawab menjaga keselamatan negara. Pendapat dan nasihat mereka tidak boleh diketepikan begitu sahaja,” katanya.
Tambahan menurut beliau, Ketua Polis Negara pada waktu itu Tun Mohammed Hanif Omar telah pun memberikan penjelasan terperinci.
Seramai 108 pemimpin politik dan aktivis sosial ditahan ketika Ops Lalang yang didakwa dilakukan bagi mengelak berlakunya rusuhan kaum di Kuala Lumpur.
Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tanpa diberikan peluang untuk dibicarakan.
Ketika peristiwa itu berlaku, Dr. Mahathir berada di China manakala Tun Musa Hitam merupakan Menteri Dalam Negeri.
Bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang antara pemimpin utama pembangkang yang dimasukkan ke dalam penjara.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Kit Siang menjadi antara sekutu kuat Dr. Mahathir dalam menumpaskan Barisan Nasional dan menjadikan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu sebagai calon Perdana Menteri.
Apabila Pakatan Harapan menang, pemimpinnya mengangkat Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh. – MalaysiaGazette
Jelas sekali, beliau mempunyai pengaruh kuat di kalangan orang Melayu pada masa itu. Bak kata pepatah: The enemy of my enemy is my friend melakukan keajaiban untuk PH. Dia adalah musuh Umno dan PH menggunakan itu untuk menghayun undi. Lagi pun, beliau tahu bahawa dalam politik, tiada kawan mahupun musuh yang kekal.