KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk pengusaha kantin sekolah menghentikan operasi sepanjang bulan Ramadan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyarankan kantin sekolah terus dibuka bagi mengelakkan senario pelajar yang tidak berpuasa makan di dalam setor atau di tepi longkang.
Jelas beliau, bukan semua murid beragama Islam di sekolah rendah berpuasa dan apa yang penting ialah mempunyai sikap inklusif dengan menyantuni pelajar bukan Islam.
“Saya rasa dalam konteks ini tiada keperluan untuk tutup (kantin). Kita nak tegaskan hari ini adalah soal bagaimana keperluan kita menyantuni kanak-kanak bukan Islam walaupun dalam bulan Ramadan.
“Saya sarankan untuk (kantin) terus buka dan bincang dengan pihak sekolah sebab saya pasti ada kanak-kanak muslim yang juga tidak berpuasa di awal umur.
“Tiada ada kewajipan kepada mereka (kanak-kanak muslim) untuk berpuasa melainkan mereka ingin berpuasa kerana ingin belajar berpuasa, dan kita tak nak ada satu senario mereka makan di stor, tepi longkang.
“Jadi mesti menghormati budaya dan agama masing-masing serta bersifat inklusif jadi tiada keperluan untuk tutup (kantin),” katanya ketika ditemui selepas Program Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah Yayasan Petronas 2023, Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (L) Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kewajipan pendidikan di peringkat sekolah menengah, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap ibu bapa pelajar terbabit.
Menurutnya, ia bukan satu-satunya jalan penyelesaian untuk memastikan tiada pelajar tercicir daripada mendapat pendidikan di peringkat itu.
Jelas Fadhlina, proses advokasi pendidikan terhadap ibu bapa akan terus dilakukan bagi memupuk kesedaran mengenai pentingnya pendidikan untuk anak mereka.
“Tidaklah sampai begitu, (saman) walaupun implikasi undang-undang tetap ada. Tetapi apa yang kita nak buat sekarang ini adalah lebih kepada memberikan kefahaman tentang pentingnya pendidikan itu.
“Dari semasa ke semasa KPM akan memastikan bahawa kita selari dengan ibu bapa untuk memberikan peringatan dalam masa yang sama memastikan bahawa mereka tidak ada isu untuk menghantar anak mereka ke sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette