Recall Bill Azalina Othman Said anti-party hopping recall election
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang dalam proses membuat beberapa pindaan terhadap Akta 792 untuk ditambah baik sebagai usaha memberikan perlindungan lebih jitu dan menyeluruh kepada kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan turut akan meminda Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 [Akta 676].

Katanya, ia bagi memperuntukkan pendengaran khas sebagai suatu lagi mekanisma di mana keterangan saksi kanak-kanak boleh diambil dalam bentuk rakaman video supaya kanak-kanak tidak perlu menghadiri perbicaraan.

Malah, ia turut berfungsi memberi kuasa kepada mahkamah untuk melarang soalan-soalan yang tidak wajar diajukan kepada kanak-kanak bagi memastikan seseorang saksi kanak-kanak itu dapat memberikan keterangan dengan lebih tenang, lancar dan selesa.

“Namun begitu, kaedah perundangan sahaja adalah tidak mencukupi untuk menangani isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Semua langkah yang diambil dalam proses sistem keadilan jenayah (criminal justice system) bagi sesuatu kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak hendaklah mesra kanak-kanak (child friendly).

“Ini termasuklah daripada peringkat laporan kepada pihak berkuasa, siasatan, hingga ke prosiding di mahkamah.

“Perkara ini adalah mustahak bagi mendapatkan keterangan terbaik (best evidence) daripada saksi kanak-kanak dan juga meminimumkan trauma dan stigma yang bakal dihadapi oleh kanak-kanak yang terlibat,” katanya pada sesi khas Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang meminta kerajaan menyatakan bilangan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang telah dilapor, didakwa dan diselesaikan sejak Akta Kesalahan-Kesalahan Terhadap Kanak-Kanak 2017 dikuatkuasakan.

Young Syefura turut ingin tahu, apakah rancangan dan usaha kerajaan untuk membanteras kes-kes sedemikian sekaligus menambahbaik sistem keadilan jenayah kanak-kanak.

Menurut Azalina lagi, sejak 2018 sehingga Januari tahun ini, sebanyak 5,519 kes telah dilaporkan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792].

Antara 5,519 kes itu, sebanyak 4,713 kes (85.4 peratus) telah diselesaikan dan sebanyak 3,060 kes pula telah dituduh (55.4 peratus) di mahkamah, katanya.

Ujar beliau, secara amnya, penggubalan Akta 792 adalah suatu langkah yang sangat baik dalam membantu polis untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan dalam merangka pertuduhan khusus di bawah Akta 792, berbanding undang-undang jenayah am yang terpakai kepada orang dewasa seperti Kanun Keseksaan dan undang-undang lain berkaitan.

“Sering kali kes kesalahan-kesalahan seksual yang melibatkan mangsa kanak-kanak ini akan mempunyai ciri-ciri kes yang unik, yang tiada di dalam kes-kes melibatkan orang dewasa.

“Oleh yang demikian, peruntukan di dalam Akta 792 dapat memberikan perlindungan yang lebih jitu dan menyeluruh kepada kanak-kanak.

Tambah beliau lagi, selain daripada itu, peruntukan-peruntukan berhubung anggapan keupayaan dan keterangan saksi kanak-kanak di bawah seksyen 17 dan seksyen 18 Akta 792 juga sememangnya banyak membantu pihak Pendakwa Raya dalam memperoleh sabitan atas suatu pertuduhan di bawah Akta 792 tersebut.

Jelasnya, peruntukan tersebut berdasarkan asas bahawa keterangan kanak-kanak dalam kes seksual tidak selalunya dapat disokong dengan keterangan sokongan disebabkan kesalahan jenayah seksual selalunya berlaku dalam keadaan tertutup.

“Oleh itu, peruntukan yang membenarkan keterangan tanpa sokongan terhadap saksi kanak-kanak di bawah Akta 792 pada tahun 2017 berasaskan kepada penyelidikan dan bukti global bahawa kanak-kanak mempunyai keupayaan untuk memberi keterangan yang tepat mengenai sesuatu fakta.

“Ia  sekiranya kaedah yang digunakan untuk mengemukakan soalan pada saksi kanak-kanak tersebut adalah bersesuaian dengan pemikiran kanak-kanak tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast