Kredit foto: FB UDA Holdings Berhad

KUALA LUMPUR – UDA Holdings Berhad (UDA) mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd Annuar Zaini sebagai pengerusi baharunya menggantikan Datuk Norliza Abdul Rahim berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pihaknya yakin pelantikan Mohd Annuar dapat membawa agensi itu untuk bersama-sama kementerian memperkasa golongan usahawan menerusi segmen perniagaannya.

“Selain itu, pelantikan itu juga dapat menyokong hasrat kerajaan ke arah pembangunan Malaysia MADANI,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan UDA.

Dalam kenyataan sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Mohd Salem Kailany pula berkata pihaknya menzahirkan ucapan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan Mohd Annuar dalam menerajui kepimpinan syarikat.

Katanya kepimpinan beliau diharap menjadi aspirasi seterusnya memacu kecemerlangan dan kelestarian UDA di masa hadapan.

Mohd Annuar yang memiliki Ijazah Sarjana Perundangan dan Diplomasi dari Tufts University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kerajaan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1977.

Beliau pernah berkhidmat di beberapa kementerian dan jabatan kerajaan di peringkat Persekutuan serta kerajaan Perak sebelum bersara secara pilihan daripada jawatan kerajaan pada 1999 untuk menceburkan diri dalam sektor swasta

Pada 2021, beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Waqaf Malaysia, Pengerusi MRCB Land Sdn Bhd (2022) dan Pengerusi Metropolitan Utilities Sdn Bhd (sejak 1993).

Mohd Annuar juga pernah diberikan tanggungjawab sebagai Penasihat dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (2007-2009), Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) (Februari 2004-Januari 2010), Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad (2001-2004) dan Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Airline System Berhad (2005-2011).

Selain itu, beliau pernah berkhidmat di PLUS Expressways Berhad (2007- 2012), Tropicana Corporation Berhad (2010-2015), Ahli Lembaga Pengarah (Bebas dan Bukan Eksekutif) Manulife Holdings Berhad, Manulife Insurance Berhad dan Manulife Investment Management (M) Berhad (2011-2020).- BERNAMA