MELAKA – Terpaksa guna duit syiling dari tabung anak untuk beli kelengkapan sekolah.
Itu kepayahan terpaksa ditanggung seorang ibu tunggal, Soboh Darmi Wasrin, 42, yang bergantung kepada pencen bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah suami untuk menyara kehidupan mereka enam sekeluarga.
Menurutnya, walaupun anak-anaknya turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500 sebulan, ia masih belum mencukupi untuk perbelanjaan mereka.
“Sejak arwah suami, Ramli Ismail meninggal dunia tiga tahun lalu, kehidupan kami enam sekeluarga, termasuk seorang cucu yang dibela sejak berusia dua bulan dan dianggap seperti anak sendiri betul-betul berubah.
“Saya tidak dapat bekerja kerana undang-undang Malaysia tidak membenarkan dan sejak itu hanya bergantung kepada pencen bulanan daripada Perkeso suami berjumlah RM1,800 sebulan atau daripada ihsan kawan-kawan yang simpati,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Peringgit di sini hari ini.
Soboh yang berasal dari Jakarta, Indonesia berkata, walaupun susah, dia masih ingat pesanan arwah suami yang meninggal dunia akibat strok pada 12 Mac 2020 supaya memastikan anak-anak dan cucunya mendapat pendidikan yang sempurna.
“Sebab itu, saya sanggup gunakan duit syiling dari tabung anak untuk beli kelengkapan sekolah walaupun pada waktu itu barang dapur juga semakin berkurangan.
“Tahun ini paling mencabar kerana memerlukan perbelanjaan tinggi untuk persiapan sekolah tiga anak serta seorang cucu berusia 21 hingga 10 tahun dan pada masa perlu buat persiapan Aidilfitri.
“Namun saya masih ingat pesanan suami, makanan boleh dikurangkan tapi pendidikan perlu diutamakan untuk menjamin masa depan anak-anak dan cucunya,” katanya sebak.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor 0440141100005366 atas nama Soboh Darmi Wasrin. – MalaysiaGazette.