Salah sebuah kafetaria UMT yang menawarkan Menu Rahmah.

KUALA TERENGGANU – Lebih 4000 mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima manfaat penjimatan selepas menu Rahmah yang diperkenalkan pihak kerajaan turut ditawarkan di kampus itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, hampir keseluruhan kafeteria di kampus UMT menyahut seruan kerajaan dengan menawarkan menu Rahmah.

“Lebih 20 kafeteria yang beroperasi dalam kampus setakat ini. Hampir kesemua kafeteria menawarkan menu Rahmah bagi membantu pelajar khususnya untuk meringankan beban
kewangan.

“Pelancaran menu jimat ini telah bermula sejak Februari lalu dan ia diteruskan sepanjang bulan ramadan.

Katanya, pihak pengurusan UMT sentiasa membuat pemantauan dan menekankan aspek kebajikan mahasiswa.

“Pelajar-pelajar UMT tidak perlu risau kerana pengurusan UMT sentiasa mendengar suara mahasiswa dan kini pelajar boleh mendapatkan hidangan yang berkhasiat dan lengkap
dengan harga yang rendah. Ini juga membantu pelajar untuk terus fokus dalam akademik tanpa gangguan”.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd Hisyamudin Razali menganggap langkah itu selari dengan langkah mengurangkan beban pelajar di kampus.

“Saya percaya penawaran menu istimewa ini dapat mengurangkan beban pelajar bukan sahaja berada di dalam kampus, ia turut memanfaatkan pelajar yang berada di luar
kampus,” tambahnya.

UMT antara universiti awam yang mempunyai bidang tujahan ilmu kelautan dan sumber akuatik menawarkan pelbagai program di peringkat prasiswazah dan pasca siswazah serta
mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi Negara (HICoE) yang ketujuh di Malaysia menerusi Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS).

Selain itu, UMT juga diiktiraf sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) bagi Teras Penyelidikan dan Inovasi bagi Future Food melalui tema Sustainable
Shellfish Aquaculture menerusi Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP). – MalaysiaGazette