Nik Saiful Adli (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan alat tulis kepada Mahussin Daud.

KOTA BHARU – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala, Melor, dekat sini, membuka tirai sesi baru persekolahan dengan Program Infaq Alat Tulis yang dilancarkan pagi ini.

Program pertama diadakan di negeri itu melibatkan bantuan alat tulis dan peralatan pembelajaran kepada murid kurang berkemampuan.

Yang Dipertua PIBG, Nik Saiful Adli Burhan berkata, program sepanjang tahun ini melibatkan sumbangan orang ramai dan ibu bapa berbentuk alat tulis terpakai, alat tulis baharu serta wang tunai.

Orang ramai dan ibu bapa yang anak mereka telah tamat persekolahan turut dialu-alukan membantu dengan menyumbangkan alat tulis yang sudah tidak lagi digunakan.

“Melalui program seperti ini, semua sumber dapat dimanfaatkan bagi mengelakkan pembaziran terutama alat tulis tidak lagi digunakan oleh murid yang habis persekolahan.

“Pihak PIBG melihat alat tulis merupakan suatu keperluan asas yang tidak boleh diabaikan bagi mengelakkan proses pengajaran dan pembelajaran terganggu.

“Sebahagian alat tulis diberi secara kekal kepada murid miskin, manakala ada sebahagiannya diberi secara pinjaman kepada mereka yang tertinggal alat tulis di rumah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam majlis pelancaran itu, pihak PIBG menyumbangkan 23 alat tulis asas mengandungi 1,346 unit kepada semua kelas daripada pra, darjah 1 hingga 6 termasuk Kelas Pendidikan Khas.

Alat tulis asas itu ialah pensel, pensel warna, pemadam, gunting, pembaris dan sebagainya.

Sumbangan disampaikan Nik Saiful Adli kepada Guru Besar SK Padang Kala, Mahussin Daud dan turut dihadiri Ahli-ahli Jawatankuasa PIBG dan sebahagian ibu bapa.

Menurut Nik Saiful Adli, PIBG dan sekolah mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan oleh orang ramai sama ada dalam bentuk alat tulis baharu, terpakai dan juga kewangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast