Penduduk membawa keranda jenazah dan menunjukkan plakad bantahan isu keselamatan jalan raya selepas kejadian kemalangan maut melibatkan seorang murid dengan lori kontena, Rabu lalu di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 MAC 2023.

KLANG – Kira-kira 500 penduduk Kampung Telok Gong, dekat sini, mendesak pihak berkuasa segera menangani isu kesesakan kenderaan berat di kawasan tersebut susulan kematian ngeri seorang kanak-kanak perempuan di situ.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Telok Gong, Rosli Ismail mendakwa isu berkenaan sudah banyak kali disuarakan kepada pihak berkuasa tapi malangnya tidak pernah diberi perhatian sewajarnya walaupun banyak kali kemalangan berlaku.

Dengan tragedi yang berlaku baru-baru ini, beliau berharap pihak berkuasa sudah mula membuka mata dan tidak lagi membenarkan syarikat kenderaan berat beroperasi atau membuka depot di kawasan ini.

“Kalau boleh separuh syarikat pengangkutan yang ada di Telok Gong ini dihalau keluar bagi mengurangkan kesesakan kenderaan berat,” katanya dengan tegas.

Beliau ditemui bersama penduduk kampung yang berhimpun di hadapan sebuah kilang yang terletak berhampiran lokasi kemalangan maut melibatkan seorang murid dengan lori kontena, Rabu lalu.

Rosli bersama penduduk turut menyerahkan memorandum kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri agar dapat membantu mengangkat suara rakyat dalam menangani isu tersebut.

Penduduk menunjukkan plakad bantahan isu keselamatan jalan raya selepas kejadian kemalangan maut melibatkan seorang murid dengan lori kontena, Rabu lalu di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 MAC 2023.

Rosli Ismail berkata, penduduk kampung merasa sedih, kecewa dengan trauma dengan kejadian itu memandangkan banyak desakan dibuat agar pihak berkuasa dapat mengawal pergerakan lori kontena yang sesak sepanjang hari.

“Saya amat sedih dan dukacita dengan kemalangan maut yang menimpa anak kampung ini. Sebagai pemimpin masyarakat di kampung ini, saya terpanggil untuk mengadakan perhimpunan aman dengan penduduk dan semua NGO dalam kampung ini.

“Tujuan perhimpunan ini adalah untuk menyedarkan pihak atasan mengenai kebimbangan penduduk Kampung Telok Gong sejak sekian lama dengan keselamatan diri dan anak-anak.

“Kami serahkan memorandum bantahan hari ini kepada YB Pelabuhan Klang yang mengandungi beberapa tuntutan daripada penduduk,” ujar beliau.

Perhimpunan selama satu setengah jam itu berlangsung dengan secara aman dan dikawal oleh anggota polis.

Mereka berhimpun untuk memberi kesedaran kepada pemandu lori kontena dan treler agar tidak memandu terlalu laju di jalan raya yang sempit dan sibuk dengan laluan penduduk setempat, terutama murid.

Rabu lalu, seorang murid perempuan Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut apabila motosikal yang ditunggang bersama seorang wanita dan adik lelakinya terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori treler di Klang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Morni Mamat berkata, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan, namun murid perempuan itu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah di kepala akibat digilis lori itu dalam kejadian di Jalan Tengah Kampung, Telok Gong, Klang.

“Tiga mangsa terlibat dalam kemalangan itu, iaitu seorang wanita dan dua kanak-kanak iaitu masing-masing lelaki dan perempuan.

“Wanita tempatan berusia 54 tahun yang menunggang motosikal itu dan kanak-kanak lelaki yang membonceng mengalami kecederaan ringan, manakala kakaknya berusia sembilan tahun telah meninggal dunia serta-merta akibat kepalanya digilis tayar treler tersebut,” katanya.

Jelas Rosli, terdapat lima tuntutan dalam memorandum berkenaan, iaitu penduduk memohon supaya meletakkan bonggol di kawasan berisiko tinggi, memperbanyakkan papan tanda peringatan had kelajuan di jalan tumpuan, membuat speed breaker atau pemutus kelajuan yang tebal di kawasan berisiko tinggi terutama di simpang.

Antaranya menuntut pihak berkenaan membina palang had ketinggian di sekitar Sekolah Rendah Kampung Telok Gong dan had perjalanan untuk kenderaan berat pada waktu puncak pagi dan petang bagi menyenangkan anak ke sekolah dan balik sekolah.

“Kami harap dengan memorandum bantahan ini, pihak berwajib dapat menunaikan tuntutan kami yang sekian lama dibelenggu oleh masalah ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Murid perempuan maut digilis treler