SPRM zakat
Bangunan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan telah memulangkan wang sebanyak AS$10 juta dan aset yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada kerajaan Malaysia.

Menurut sumber, kesemua wang dan aset tersebut dipulangkan pada tahun lalu selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai.

Katanya, siasatan suruhanjaya itu mendapati Rohana tidak mempunyai pengetahuan tentang sumber dana itu dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB yang disalurkan oleh bekas rakan kongsi Goldman Sachs Inc, Tim Leissner.

Rohana memulangkan wang dan aset tersebut secara sukarela, ujarnya

Sumber memberitahu, siasatan terhadap Rohana telah selesai dan tiada tindakan undang-undang susulan terhadapnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pemulangan wang dan aset tersebut.

Katanya, sehingga kini sebanyak RM28.93 bilion iaitu lebih kurang 70 peratus daripada jumlah keseluruhan aset 1MDB telah dikembalikan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Daripada semua pemulangan aset dan duit 1MDB tu, berapa banyak yg diambil daripada DS Najib? Bukan dia dituduh oleh Mahathir dan Muhyidin curi duit 1MDB kah???

Comments are closed.