Bekas isteri, Emilia Hanafi bersama peguam bela hadir bagi mendengar sembutan kes tuntutan harta sepencarian daripada Datuk SM Faisal SM Nasimuddin di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 13 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR –  Mahkamah Majistret hari ini diberitahu bahawa Emilia Hanafi dan bekas suaminya, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin akan berunding secara baik untuk menyelesaikan kes berhubung dakwaan wanita itu dicederakan oleh ahli perniagaan tersebut, di luar mahkamah.

Peguam pemerhati Nazri Yahya yang mewakili Emilia, memaklumkan kepada Majistret Nadia Othman bahawa kedua-dua pihak berhasrat untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah secara serius dan memohon untuk melapangkan prosiding perbicaraan pada hari ini sebelum mengetahui status rundingan pada tarikh akan datang.

“Hari ini, Emilia yang merupakan saksi terakhir dan pengadu dalam kes ini, sepatutnya perlu memberi keterangan, bagaimanapun saya ingin memaklumkan bahawa pihak-pihak (Emilia dan SM Faisal) berhasrat untuk berunding secara serius untuk menyelesaikan kes.

“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada peguam SM Faisal dan kami akan memakluman status rundingan itu kepada mahkamah sebelum atau pada 30 Mac,” kata peguam itu pada prosiding yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal turut mengesahkan perkara itu dan rundingan akan dilakukan mengikut cadangan yang tertakluk kepada terma anak guamnya.

“Saya memohon mahkamah merekodkan sekiranya tiada penyelesaian, pihak kami tidak mahu membuang masa dan akan meneruskan perbicaraan pada 30 Mac. Saya tiada bantahan terhadap permohonan untuk melapangkan kes hari ini,” katanya.

Majistret Nadia kemudian menetapkan 30 Mac ini untuk mengetahui status rundingan berkenaan.

Sementara itu, ketika ditemui media di luar mahkamah, Akberdin mengesahkan rundingan itu termasuk kes tuntutan harta sepencarian dan mutaah pasangan itu di Mahkamah Syariah.

“Kalau ada penyelesaian, kita berhasrat untuk selesai semua kes termasuk di Mahkamah Syariah. Ia bergantung kepada terma dan persetujuan kedua-dua pihak. Kes ini sudah berjalan terlalu lama, kita mahu tamatkannya,” katanya.

SM Faisal, 43, didakwa mencederakan Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang 22 Nov 2015 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – BERNAMA