Sebahagian sukarelawan UTHM membantu membuang barangan rosak akibat banjir.

BATU PAHAT- Ketika banjir di negeri Johor mulai surut, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneruskan lagi misi bantuan banjir dengan menghantar kira-kira 80 sukarelawan bagi membantu kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terjejas.

Misi bantuan pasca banjir tersebut kali ini bertumpu di Mukim 4 Simpang Kiri dan Mukim 18, Parit Sulong, Batu Pahat.

Kumpulan sukarelawan yang terlibat melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan kediaman dan juga kawasan awam bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

Selain aktiviti pembersihan, Yayasan UTHM turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan diri dan makanan kering kepada mangsa-mangsa banjir.

Terdahulu, Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim hadir sama menyantuni kumpulan sukarelawan yang terdiri daripada staf akademik dan staf pentadbiran sekali gus menyempurnakan upacara pelepasan Misi Bantuan Banjir UTHM Prihatin.

Beliau berharap sumbangan dan bantuan seumpama itu dapat meringankan beban mangsa banjir yang bakal menyambut kedatangan bulan Ramadan.

Untuk rekod, sebelum ini UTHM melalui Yayasan telah melancarkan tabung banjir bagi memberi peluang kepada staf dan masyarakat memberi sumbangan kepada mangsa yang terjejas.

UTHM juga turut menghantar sukarelawan serta menyalurkan sumbangan berbentuk makanan kering dan keperluan diri kepada beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar daerah Batu Pahat, kluang, Muar dan Kota Tinggi.

Sehingga hari ini, agihan dana sumbangan Yayasan UTHM kepada komuniti telahpun mencecah lebih RM60 ribu sejak Johor dilanda banjir pada tahun ini.

Selain komuniti, UTHM turut menyalurkan sumbangan dan bantuan kepada staf dan pelajar universiti yang terjejas sebagai tanda prihatin universiti terhadap kebajikan warganya. – MalaysiaGazette