Syaiful Rizal (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Anniza untuk membolehkan anak ibu tunggal itu menyambung pengajian ke IPTA.

NILAI – Yayasan Bank Rakyat (YBR) komited dalam usahanya membantu seramai mungkin anak dari golongan kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.

Ini terbukti apabila YBR tampil membantu seorang ibu tunggal, Anniza Wardi, 52, membiayai pengajian anaknya di sebuah institut pengajian awam terkemuka di Kuala Lumpur.

Anniza yang bekerja sebagai tukang cuci sebelum ini berdepan dengan kesukaran dalam membuat persediaan untuk anaknya menyambung pengajian semester baharu, berikutan kekangan kewangan.

Namun, dengan keprihatinan YBR, Anniza mampu melihat anaknya, Akmal Adil Syahmi Shahruddin yang merupakan pelajar tajaan MARA di semester kedua jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina dari Universiti Malaya (UM) dapat menyambung pengajiannya.

Akmal Adil merupakan anak ketiga dari lima beradik yang memasang impian untuk menjadi seorang arkitek berjaya di masa hadapan.

Sumbangan tunai berjumlah RM2,500 diserahkan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani kepada Anniza di Masjid Kuarters KLIA, hari ini.

Sumbangan itu, mampu meningkatkan moral keluarga agar sentiasa menyokong dan meraikan kejayaan anak yang berjaya menyambung pengajian ke IPTA walau dalam apa juga masalah dan kesempitan hidup.

“Saya berharap sumbangan daripada YBR ini dapat membantu Akmal Adil mencapai impiannya, sekali gus membantu keluarganya apabila mendapat pekerjaan nanti,” katanya.

Turut hadir, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Menurut Syaiful Rizal, melihat keadaan ekonomi yang masih tidak stabil, diharapkan pemberian sumbangan tunai itu sedikit sebanyak mampu meringankan urusan kewangan yang dihadapi oleh keluarga pelajar dan menyuntik kesedaran mengenai kepentingan pelajaran dalam kehidupan dan masa hadapan.

Kata beliau lagi, sumbangan yang disalurkan kepada golongan yang layak itu dapat memberi suntikan semangat dan motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha menuntut ilmu serta sebagai tanda ingatan YBR dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

Jelasnya, usaha itu bukan sahaja dilihat sebagai pemberian sumbangan khas YBR kepada penerima, bahkan dapat menjentik hati mana-mana agensi dan badan berwajib agar turut tampil turun padang mengenal pasti situasi itu yang adakalanya terlepas pandang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast