Gambar hiasan

BANDARAYA SALT LAKE (Amerika Syarikat) – Utah di Amerika Syarikat bakal menjadi negeri pertama yang mengehadkan penggunaan Facebook, Twitter, Instagram dan platform media sosial lain dalam kalangan remaja, lapor Xinhua.

Langkah itu selepas Utah menandatangani undang-undang mengenai akses media sosial untuk pengguna di bawah umur 18 tahun.

“Kami tidak mahu lagi membiarkan syarikat media sosial terus membahayakan kesihatan mental golongan belia kami,” kata Gabenor Utah Spencer Cox di Twitter.

Menurut laporan New York Times, ia adalah undang-undang negeri pertama di AS yang melarang perkhidmatan media sosial daripada membenarkan pengguna di bawah 18 tahun memiliki akaun tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaga.

Cox menandatangani undang-undang itu pada Khamis yang bertujuan untuk mengehadkan masa mereka menggunakan media sosial dan menghalang syarikat daripada mempengaruhi golongan ini.

Undang-undang baharu yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Mac 2024 itu mewajibkan perkhidmatan media sosial untuk menyekat pengguna di Utah yang di bawah umur daripada mengakses akaun media mereka dari 10.30 malam hingga 6:30 pagi – tetapan masa ini hanya boleh diubah oleh ibu bapa atau penjaga.-BERNAMA