Ong Yew Sin-Teo Ee Yi. Foto Facebook BAM

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terus membawa harapan Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland 2023 di Basel selepas dua lagi wakil negara tersingkir dalam aksi suku akhir awal pagi tadi.

Yew Sin-Ee Yii mara ke separuh akhir acara beregu lelaki, setelah tewas set pertama 16-21 sebelum bangkit mencatat kemenangan 21-12, 21-19 ke atas gandingan Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana pada pertembungan di St Jakobshalle itu.

Yew Sin-Ee Yii selaku pilihan ketiga kejohanan, akan bertemu pilihan kedua kejohanan dari India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di separuh akhir yang akan berlangsung malam ini.

Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menepati ramalan mengiringi kemaraan itu bagi acara beregu campuran selepas menundukkan wakil Thailand Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 21-18, 21-18 dalam pertembungan selama 36 minit.

Menanti Soon Huat-Shevon di separuh akhir, beregu Belanda Robin Tabeling-Selena Piek yang menewaskan satu lagi beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 21-19, 19-21, 21-19.

Nasib turut tidak menyebelahi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong apabila terpaksa menarik diri di set kedua perlawanan berikutan kecederaan, selepas tewas set pertama 11-21 di tangan pilihan ketiga kejohanan dari Taiwan Chou Tien Chen.

Semalam, pemain profesional perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia turut mengesahkan slot separuh akhir selepas menewaskan Lee Chia Hao dari Taiwan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast