KUALA LUMPUR — Trend gelandangan dalam negara tidak pernah menurun sejak dahulu lagi, namun ia tidak meningkat dengan mendadak.

Oleh itu, satu pelan jangka panjang akan dilaksanakan untuk mengekang kenaikan jumlah gelandangan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri  Ahmad Zahid.

Menurut beliau, usaha itu perlu dilakukan secara kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi keluarga.

“Kita harus berhati-hati supaya kumpulan (gelandangan) ini tidak bertambah setiap hari. Kita mesti mencari jalan untuk menyelesaikan beberapa faktor yang menyebabkan perkara ini.

“Antara faktor terbesar ialah mereka kehilangan pekerjaan, menghadapi masalah kesihatan mental, dan sakit berpanjangan serta beberapa faktor lain. Justeru, tidak lagi bekerja secara silo, tetapi sebaliknya bekerja dengan kementerian lain dan jabatan bagi menyelesaikan masalah itu.

“Ia bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, institusi keluarga juga jangan melepaskan tangan dan berharap kepada pihak kerajaan dan NGO sahaja. Ia tidak akan menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menghadiri Program Singgah Moreh yang diadakan di Anjung Kembara Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, di sini malam tadi.

Ahmad Zahid Hamidi (tengah) diiringi Datuk Seri Johari Abdul Ghani (baju merah) Nancy Shukri (kanan) beramah mesra dengan seorang lelaki gelandangan pada Program Singgah Moreh Bersama Komuniti Gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2023.

Turut hadir menyantuni golongan kurang berkemampuan itu, Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr. Mohd Naim, dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menambah, sehingga kini terdapat empat pusat transit gelandangan iaitu Anjung Kembara, Anjung Singgah, Anjung Kelana dan Rumah Bimbingan.

“Jumlah keseluruhan penghuni yang sudah dibantu adalah seramai 8,007 orang yang kini ditempatkan di Anjung Kembara Pusat Transit Gelandangan KL dan Anjung Singgah KL.

“Sepanjang tahun 2022, sebanyak 8,718 tindakan mengambil orang papa sudah dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara, manakala 794 tindakan dilakukan di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 11,239 gelandangan diambil di seluruh negara dengan 2,612 di Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan penderma, syarikat korporat dan NGO yang ingin menyalurkan bantuan seperti juadah berbuka atau persiapan menyambut hari raya menyelaras kepada Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN).

Ahmad Zahid berkata, ia memastikan sumbangan dapat diagihkan secara berpusat dan sistematik, selain bagi mengelakkan gejala pembaziran makanan.

“Bulan Ramadan ini kita tahu terlalu banyak yang ingin salurkan bantuan, namun ada  sumbangan yang diberikan sama ada waktu sahur, berbuka mahupun moreh adakalanya berlebihan.

“Jadi saya sarankan kepada syarikat atau NGO ini yang mahu menyumbang, kita selaraskan melalui YKN, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Ini kerana kita mahu supaya sumbangan itu sampai terus kepada golongan sasar yang sebenarnya,” katanya.

Ulas beliau lagi, setiap sumbangan tunai oleh syarikat korporat, NGO atau penderma akan diberikan resit pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967. -MalaysiaGazette