KUALA LUMPUR – Kerja-kerja menambah lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang dijangka siap pada pertengahan Apri telah selesai dilaksanakan.
Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sebanyak 12 lorong tambahan RFID telah mula beroperasi sejak 11 Mac lalu.
Ia melibatkan Plaza Tol Setia Alam, Subang, Jalan Duta, Putra Mahkota, Kajang, Kubang Semang, Sungai Besi, Shah Alam, Sungai Buloh, Rawang Selatan dan Jambatan Pulau Pinang.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada PLUS kerana telah menambah 12 lagi lorong RFID di lebuh raya kendaliannya lebih awal dari yang dijadualkan sebelum ini.
“Pada masa yang sama, saya berharap agar pengguna juga turut mengamalkan kaedah penggunaan RFID yang betul,” kata Alexander dalam kenyataan.
Pada Januari lalu beliau mengumumkan penambahan 12 lorong RFID di beberapa plaza tol PLUS.
Langkah tersebut bagi mengatasi masalah kesesakan di lorong RFID yang telah banyak menimbulkan rungutan dalam kalangan pengguna.
Berdasarkan perancangan asal penambahan lorong RFID akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap pertengahan April ini.
“Saya telah diberi jaminan bahawa sistem RFID akan sentiasa dipastikan berada di dalam keadaan yang terbaik.
“Namun saya juga mengharapkan kerjasama daripada penggguna RFID di lebuhraya PLUS untuk sentiasa menggunakan Lorong RFID atau mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari plaza tol,” katanya.
Beliau juga meminta pengguna untuk memastikan baki eWallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar.-MalaysiaGazette