Fadhlina (tengah) merasmikan Majlis Penyerahan Projek ‘Smart Classroom’ di Sekolah Kebangsaan Mengkuang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Dua daripada tiga beradik yang menjadi mangsa dera ibu mereka di Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat, Perlis didapati mempunyai rekod persekolahan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, hasil penelitian pihaknya mendapati hanya seorang daripada tiga beradik itu tercicir dalam persekolahan.

“Hasil semakan kita mendapati dua daripada mangsa dera itu mempunyai rekod hadir ke sekolah di Perlis namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Fadhlina.

“Kes tiga beradik berusia 13 hingga 16 tahun itu merentasi pelbagai kementerian, jadi kita serahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kementerian lain sebelum urusan pendidikan diambil alih oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Kita akan pastikan perkembangan ketiga-tiga anak ini (mangsa dera) diambil perhatian sepenuhnya oleh KPM memandangkan mereka sudah ditempatkan di institusi jagaan,” katanya pada pemberita di sini, hari ini.

Difahamkan, hanya remaja lelaki berusia 16 dan 14 tahun mempunyai rekod persekolahan manakala adik bongsu mereka dikatakan sudah tidak bersekolah sejak berusia 11 tahun.

Terdahulu, Fadhlina menghadiri Majlis Penyerahan Projek ‘Smart Classroom’ di Sekolah Kebangsaan Mengkuang di Bukit Mertajam di sini.

Hadir sama, Presiden Yayasan AEON Malaysia, Datin Noryahwati Mohamad Noh; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik Negara, Hardian Hadir; Ketua Pengarah KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali dan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad.

ARTIKEL BERKAITAN

Tiga beradik dipercayai didera, dua dirantai di kaki

Semalam media tempatan melaporkan, tiga beradik berusia 13 hingga 16 tahun ditemui orang awam dalam keadaan kaki masih berantai di tepi Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat, Perlis.

Ketika ditemui, dua daripada mangsa dirantai bersama di bahagian kaki, manakala seorang lagi tidak dirantai.

Hasil semakan polis seterusnya mendapati dua daripada mangsa memiliki kad Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah pendengaran dan pembelajaran.

Kesemua mangsa yang menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. – MalaysiaGazette