KUALA LUMPUR – Pemandu sebuah kereta meninggal dunia selepas kenderaan itu terbabas di Jalan 51A/227A, Petaling Jaya, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ketika kejadian jam 5.15 pagi lelaki yang berusia 43 tahun itu bersama isterinya dalam perjalanan ke kediaman ibunya di Klang.

“Dimaklumkan oleh isterinya, sebelum meninggal di lokasi, lelaki berkenaan pengsan selepas kenderaan yang dipandu terbabas sendiri,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Mohamad Fakhrudin, isteri mangsa hanya mengalami cedera ringan.

Katanya, siasatan terhadap punca kematian masih dijalankan.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, beliau meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704. – MalaysiaGazette