Asyraf meninjau keadaan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukan RM100,000 bagi mengganti peralatan di asrama pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau.

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan itu turut membabitkan penggantian alat perabot bilik guru MRSM berkenaan.

“Sepatutnya dalam jadual saya ke Sungai Bakap, Nibong Tebal bagi melawat usahawan bumiputera di sana, tetapi saya mengambil keputusan untuk membuat lawatan mengejut terlebih dahulu ke MRSM Balik Pulau kerana ada terbaca comment di facebook saya mengenai kondisi asrama pelajar di sana.

“Saya melihat sendiri kondisi asrama dan bilik guru di sini dengan ditemani Pengetua Mohd Ali Mohd Yusof sebelum berhubung terus Ketua Pengarah Azhar Abdul Manaf untuk peruntukkan bajet segera.

Komen di media sosial yang meminta Asyraf meninjau MRSM Balik Pulau.

“Kita memperuntukan RM100,000 untuk membaik pulih penggantian peralatan di asrama pelajar dan penggantian alatan perabot bilik guru,” katanya dalam kenyataan di Facebook susulan membuat lawatan mengejut di MRSM Balik Pulau hari ini.

MRSM Balik Pulau merupakan antara MRSM yang terawal dibina sejak tahun 1982.

Asyraf bermesra dengan pelajar MRSM Balik Pulau.

Mengulas lanjut Asyraf Wajdi berkata, MARA akan sentiasa memastikan kebajikan para pelajar dan guru terjamin serta menyediakan suasana yang kondusif bagi proses pembelajaran dan pengajaran di MRSM. – MalaysiaGazette