Gari nasyid singer drug Youtuber murder Penang
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan lelaki dipercayai penyewa sebuah kondominium di Bandar Permaisuri, Cheras, bagi membantu siasatan berhubung penemuan puluhan bangkai dipercayai kucing.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, individu berusia 31 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, semalam.

“Siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, kertas siasatan berhubung kejadian sudah dibuka dan identiti suspek masih dalam siasatan.

Sebelum ini, media melaporkan penemuan puluhan rangka dan bangkai haiwan di dalam sebuah unit kediaman kondominium di Bandar Permaisuri, Cheras, di sini.

Penganalisa Jenayah Haiwan yang juga Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika dilapor berkata, penemuan itu susulan aduan penduduk sebuah berhubung bau busuk di kediaman berkenaan.

Pemilik kediaman yang dihubungi kemudian melakukan pemeriksaan di rumahnya yang disewa seorang lelaki tempatan berusia 30-an pada 11 Mac lalu terkejut mendapati berpuluh rangka haiwan di dalam premis terbabit.

Susulan itu, Dwi Andika menggesa siasatan segera dijalankan oleh pihak polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berikutan sehingga kini tiada maklum balas positif selepas laporan dibuat 13 Mac lalu. – MalaysiaGazette