Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seorang bekas tentera berusia 32 tahun tergamak memijak muka dan memukul ibunya kerana tidak mendapat wang RM20 untuk membeli dadah dalam kejadian di sebuah rumah dekat Kampung Gual Jedok, Tanah Merah, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, akibat daripada kejadian itu mangsa berusia 65 tahun itu mengalami kecederaan di dahi, mata, bengkak di bahagian kepala dan badan sebelum mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tanah Merah.

“Pada 25 Mac, lebih kurang 5.08 petang, pihak kami telah terima satu laporan berkait kes mendatangkan kecederaan terhadap ibu kandung di Tanah Merah.

“Berdasarkan keterangan pengadu (abang suspek), telah menerima video daripada abang iparnya pada 2.30 petang mengenai adik kandungnya memukul ibu pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek berjaya ditangkap dan hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku memukul ibunya kerana tidak memberikan wang yang diminta.

“Suspek yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT).

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya. – BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.