Charles Santiago

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen DAP, Charles Anthony Santiago dilantik semula sebagai Pengerusi baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), berkuatkuasa pada 20 Mac lalu.

Pelantikan bekas Ahli Parlimen Klang itu melengkapkan barisan kepimpinan anggota baharu SPAN bagi penggal 2023 hingga 2025.

Charles sebelum ini memegang jawatan itu dari November 2018 hingga April 2020 ketika Pakatan Harapan berada dalam kerajaan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap kepimpinan baharu SPAN dapat membantu mencapai objektif agenda Transformasi Sektor Air (WST 2040).

“Saya percaya bahawa barisan ini akan mampu memacu SPAN untuk terus kekal menjadi sebuah organisasi yang progresif, proaktif dan disegani dalam pengawal seliaan perkhidmatan air di
Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang kepakaran masing-masing.

“Mendepani cabaran yang lebih getir terhadap perkhidmatan air di masa hadapan, SPAN melalui warga kerjanya serta Anggota Suruhanjaya perlu bergerak secara sinergi dalam memastikan
perkhidmatan air dapat dilestarikan melalui perancangan strategik, pengawalseliaan yang rapi serta penguatkuasaan terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Pada kesempatan ini juga, saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada barisan Anggota Suruhanjaya terdahulu yang telah menjalankan tugas mereka dengan berdedikasi,” katanya.

Penyerahan watikah kepada Charles akan dilakukan dalam masa terdekat.

Charles merupakan penyandang kerusi Parlimen Klang selama tiga penggal sebelum digugurkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.

Tempat beliau digantikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemuning, V Ganabatirau. – MalaysiaGazette