Noor Fatimahtul Zaharah menunjukkan poster mencari anaknya Aliah Qistina Budiyanto, 16 yang hilang sejak malam 17 Mac lalu dari rumah mereka di Taman Maju, Jasin, Melaka.

JASIN – “Inilah Ramadan paling hiba buat kami sekeluarga, sedihnya, rindunya pada anak sulung yang sudah 10 hari hilang tanpa jejak entah ke mana.

“Tolonglah buatkan solat hajat, bacakan Yaasin agar saya dipertemukan semula dengan agar anak sulung saya, Aliah Qistina Budiyanto, 16,”

Itu rayuan disertai linangan air mata diluahkan peniaga nasi lemak, Noor Fatimahtul Zaharah Talib, 41, ketika mengenangkan Ramadan kali ini terpaksa disambut dengan kehilangan anak gadisnya itu.

Dia tidak menyangka kejadian ‘terlena’ selama satu jam pada malam 17 Mac lalu, menjadi pemisah waktu yang sering ditangisi saban hari kerana terlalu merindui anak sulung daripada dua beradik itu.

Noor Fatimahtul Zaharah menampal poster di pusat beli belah demi mencari anaknya Aliah Qistina Budiyanto, 16 yang hilang sejak malam 17 Mac lalu dari rumah mereka di Taman Maju, Jasin, Melaka.

“Apa yang berlaku ini memang amat berat, kerana kehilangan anak masih menjadi misteri sehingga ke hari ini tanpa sebarang petunjuk kecuali ketukan pintu pada pukul 11 malam 17 Mac lalu.

“Malam itu, kami sekeluarga boleh ‘terlena’ ketika sedang menonton televisyen dan saya hanya tersedar apabila terhidu wangian yang sangat pekat sejam kemudian dan ketika itu, Alia disedari sudah hilang dari rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Maju, di sini, hari ini.

Menurutnya, sejak itu, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari anaknya itu termasuk menggunakan kaedah pencarian Islam apabila tiga ustaz dan dua ustazah sudi tampil menghulurkan bantuan.

Aliah Qistina Budiyanto, 16 yang hilang sejak malam 17 Mac lalu dari rumah mereka di Taman Maju, Jasin, Melaka.

“Hampir semua mereka memaklumkan, anak saya dilarikan seorang lelaki warga Indonesia berkulit gelap berusia awal 20-an yang dikatakan pelanggan tetap saya yang menjual nasi lemak di hadapan rumah.

“Buntu saya memikirkannya kerana Aliah seorang yang sangat berhati-hati memilih kawan, malah jiran-jiran, guru dan kawan-kawan di sekolah pun tahu akan sifat pendiamnya.

“Saya merayu, janganlah buat spekulasi yang bukan-bukan kerana orang di sini pun tahu susah untuk lihat Aliah keluar rumah kerana dia lebih suka meluangkan masa bersama keluarga di rumah berbanding keluar tanpa arah tuju,” katanya.

Noor Fatimahtul Zaharah tidak dapat menahan hiba ketika menceritakan kehilangan anak sulungnya Aliah Qistina Budiyanto, 16 yang masih menjadi misteri sejak hilang malam 17 Mac lalu dari rumah mereka di Taman Maju, Jasin, Melaka.

Noor Fatimahtul sehubungan itu merayu agar orang ramai dapat membantu dengan membuat solat hajat atau bacaan surah Yaasin agar anak pertamanya itu dengan perkahwinan terdahulu segera ditemukan.

“Berat hati ini untuk mengharungi sehari demi sehari tanpa Aliah apabila memikirkan di manakah dia tidur, bagaimanakah dia menjalani ibadah puasa tanpa keluarga yang belum pernah dilaluinya.

“Hibanya hati sampai tak sanggup saya nak masak, daging masak kicap atau asam laksa yang menjadi kegemarannya setiap kali berbuka puasa di bulan Ramadan,” katanya sambil mengesat air mata.

Tambahnya, dia berharap mereka yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Alia Qistina supaya segera menghubunginya di talian 011-27099060 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast