KUALA LUMPUR – Mana-mana pegawai imigresen yang disyaki menyebabkan pintu sempadan negara bocor dan dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu dituduh atas kesalahan jenayah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, hukuman sebat serta penjara untuk tempoh yang panjang perlu dikenakan agar mereka takut untuk mengulangi kesalahan tersebut.
Menurut beliau, setiap pegawai harus bertanggungjawab atas tindakan mereka dan dihukum dengan setimpal untuk setiap kesalahan yang dilakukan.
“Hukuman yang bersifat tatatertib sudah tidak lagi berkesan. Mereka gembira dan tertawa dengan hukuman ini!” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jais memberitahu, hukuman yang tepat akan bergantung pada faktor-faktor seperti tahap kesalahan, tingkat ancaman keselamatan dan jumlah kerugian yang dialami akibat kesalahan tersebut.
Beliau memberi contoh di Indonesia di mana pegawai imigresen akan dipindahkan segera sejahuh 1,000 kilometer dari keluarga sekiranya terdapat aduan terhadap mereka.
“Setiap pelanggaran atau kesalahan harus disiasat dan diproses melalui sistem keadilan negara yang adil dan telus,” tegasnya. – MalaysiaGazette