Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan melihat Ambulans selepas merasmikannya pada Majlis Penyerahan 50 Buah Ambulans Domestik Beserta Peralatan Perubatan Jenis B di Padang Kawad, Kem Kementah, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan Malaysia (Kementah) hari ini menerima 50 ambulans domestik baharu untuk kegunaan perkhidmatan kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kesemua kenderaan itu merupakan sebahagian daripada lebih 130 ambulans yang ditempah bagi menggantikan aset sedia ada yang usang sebelum ini.

“Ambulans ini diimport sepenuhnya memandangkan kenderaan-kenderaan yang ada dalam perkhidmatan kita sekarang semuanya sudah lama, tak sesuai digunakan lagi.

“Sebanyak 50 ambulans baharu ini sebahagian daripada pelan tindakan untuk kita memperbaharui jumlah ambulans yang diperlukan dalam perkhidmatan.

“Ini merupakan kumpulan pertama, Insya-Allah kita akan buat pesanan baharu bila keadaan kewangan baik,” katanya kepada pemberita di Kem Kementah, di sini, hari ini.

Terdahulu Mohamad menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan 50 Ambulans Domestik Perkhidmatan Kesihatan ATM kepada Panglima-Panglima Perkhidmatan.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kesemua ambulans yang ditempah itu berdasarkan keperluan mendesak semasa pandemik Covid-19 menyerang negara, tiga tahun lalu.

“Keperluan ambulans pada ketika itu merupakan sesuatu yang amat mendesak.

“Ketika itu terlampau ramai pesakit yang terpaksa dibawa ke hospital atau pusat-pusat kuarantin sehinggakan tiada kenderaan lagi untuk digunakan,” katanya.

Jelasnya, kumpulan pertama ambulans yang diterima pihaknya hari ini merupakan Kelas B yang dilengkapi dengan peralatan perubatan bergerak untuk menstabilkan pesakit sebelum dibawa ke hospital.

“Ambulans Kelas B ini lengkap macam ICU, kenderaan sudah cukup bagus dan baik, ada doktor dan penolong pegawai perubatan yang boleh duduk sama.

“Luas, besar kenderaan ini dan ia satu kenderaan yang sempurna dan boleh mempertingkatkan mutu perkhidmatan perubatan ATM,” katanya.

Katanya lagi, penerimaan 50 ambulans itu mampu menggantikan kenderaan perubatan ATM sedia yang sudah uzur dan berusia lebih 30 tahun.

“(Baki tempahan) Itu kita akan buat secara berperingkat-peringkat bila ada keperluan, setakat ini belum lagi.

“Kesemuanya lebih 130 buah yang kita perlu untuk ganti kenderaan ambulans yang berumur lebih 30-40 tahun banyak sudah rosak.

“Kenderaan yang rosak ini kita akan lupuskan kerana tak boleh pakai lagi,” katanya. – MalaysiaGazette