Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kenyataan Pakatan Harapan (PH) yang dilaporkan memberi ruang kepada Barisan Nasional (BN)  meletakkan calon menteri besar sekiranya menang pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Kelantan dan Terengganu hanyalah pendapat peribadi Khalid Samad.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut belum dibawa ke meja rundingan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

“Itu pandangan dia (Khalid), nanti kita bincangkan dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

“Itu pandangan peribadi dia, dia pun tidak ada dalam mesyuarat itu,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet menangani denggi di Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai kenyataan Khalid yang berkata, gabungan PH sedia untuk memberi ruang kepada Barisan Nasional (BN) meletakkan calon Menteri Besar (MB) sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Bagaimanapun, Khalid berkata, calon bakal MB bakal ditampilkan gabungan itu akan diteliti dan diputuskan dalam mesyuarat bersama PH. – MalaysiaGazette