pekebun kecil getah
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu pekebun kecil khususnya yang terlibat dalam sektor getah.

Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang dimulakan pada 2015 hingga 31 Disember lalu telah menyalurkan bantuan kepada 207,128 pekebun kecil getah di seluruh negara.

Nilai bantuan keseluruhan adalah RM446 juta di mana RM313 juta kepada pekebun kecil di Semenanjung serta RM4 juta di Sarawak dan RM129 juta di Sabah.

“Terkini kerajaan juga telah bersetuju menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM350 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian itu mengulas laporan Berita Harian semalam bertajuk ‘Tiada lagi hasil getah Malaysia?’ yang menyentuh mengenai harga getah yang rendah dan berterusan tidak stabil.

KPK menambah, kerajaan turut memperkenalkan program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) di mana setiap pekebun kecil getah yang menyertai program tersebut akan menerima insentif tunai sebanyak RM1 sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK).

Katanya, para peserta juga akan menerima bantuan dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850 bagi setiap hektar secara sekali beri.

Selain itu, tambah KPK, Lembaga Getah Malaysia (LGM) juga telah menambah baik proses pembayaran bagi memudahkan penyaluran bantuan seperti IPG dan IPL.

“Mulai 1 Januari 2021, pembayaran IPG dibuat secara terus ke akaun bank pekebun kecil dan mereka tidak perlu lagi membuat permohonan secara manual di pejabat-pejabat LGM,” jelasnya.

Kementerian itu memberitahu, pekebun kecil yang memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) diwajibkan untuk menjual getah kepada peniaga getah berlesen LGM yang mengguna pakai aplikasi RRIMniaga.

KPK berkata, RRIMniaga merupakan aplikasi telefon pintar yang dibangunkan oleh LGM untuk merekodkan urus niaga jual beli getah dan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2021.

Bagi menghadapi cabaran kekurangan buruh asing dan menarik minat generasi pelapis, LGM telah memperkenalkan konsep pembangunan getah secara berkelompok.

“Kolaborasi strategik antara kerajaan dan entiti bukan kerajaan atau syarikat swasta telah diperkenalkan melalui penambahbaikan model dan struktur operasi pekebun kecil dan rangkaian bekalan getah di peringkat huluan.

“Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing selain dapat menarik minat generasi pelapis untuk berkerjaya dalam industri getah,” katanya.

KPK berkata, projek yang dikenali sebagai Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) itu dijangka akan membantu golongan muda dan memberi pulangan yang baik kepada pekebun kecil getah.

Kementerian itu menambah, kerajaan tidak ketandusan teknologi baharu dalam membangunkan industri getah negara.

“LGM telah mengambil inisiatif bagi menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk penghasilan klon-klon getah yang berkualiti tinggi untuk meningkatkan produktiviti dan automasi dalam sektor huluan industri getah.

“Kajian yang mendalam dalam sektor hiliran khususnya bagi penghasilan produk-produk berasaskan getah yang bernilai tambah turut dilaksanakan,” jelasnya.

Menurut KPK, bagi meningkatkan penggunaan getah asli di negara ini, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM50 juta untuk penggunaan cuplump modified bitumen (CMB) untuk penyelenggaraan jalan dalam Belanjawan 2023.

“Ini merupakan salah satu teknologi yang dibangunkan oleh LGM,” katanya.

Pada masa yang sama, kementerian itu mengalu-alukan cadangan dan saranan yang diutarakan oleh pelbagai pihak termasuk Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (PERGETAH) ke arah meningkatkan industri getah negara. – MalaysiaGazette