KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertikai tempoh 13 bulan yang diambil oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi bagi menyiapkan penghakiman bertulis kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) yang dihadapinya.
Ahli Parlimen Muar itu menyatakan, kelewatan tersebut memprejudis beliau selaku perayu kerana menjejaskan kelebihan audio visual yang dikemukakan di hadapan hakim yang membicarakan kes berkenaan.
Perkara itu merupakan salah satu daripada 18 alasan penghakiman yang dikemukakan dalam petisyen rayuan yang difailkan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan, Putrajaya hari ini.
Penghakiman bertulis Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid bertarikh 28 November lalu, diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, sehari kemudian.
Dalam penghakiman setebal 22 muka surat, hakim berkenaan menolak pembelaan Syed Saddiq yang menyatakan beliau tidak mengetahui transaksi pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Mahkamah sebaliknya berpendirian, tindakan Syed Saddiq, 31, selaku Ketua Armada (ketika itu) yang juga salah seorang pemegang amanah akaun yang mengarahkan pengeluaran RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, merupakan satu kesalahan pecah amanah.
Syed Saddiq merayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta serta dua sebatan terhadap beliau atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA), yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Rayuan di Mahkamah Rayuan dijadual didengar selama dua hari berturut-turut bermula 19 Mac tahun depan.
Petisyen itu turut menyatakan, hakim bicara terkhilaf daripada segi undang-undang dan/atau fakta apabila memutuskan satu kes prima facie bagi keempat-empat pertuduhan terhadap Syed Saddiq.
Menurut Ahli Parlimen Muar itu, hakim bicara turut terkhilaf apabila beliau gagal menilai kebolehpercayaan saksi-saksi pendakwa, terutamanya saksi pendakwaan ke-13 (SP13).
Katanya, hakim bicara juga terkhilaf kerana gagal memahami intipati dan kehendak Seksyen 405 Kanun Keseksaan kerana menyamakan `pengeluaran’ dan `perbelanjaan’.
Ujar bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu, hakim berkenaan malah terkhilaf kerana gagal memutuskan pertuduhan kedua adalah cacat, tidak jelas dan bertindih.
“Wang RM120,000 sememangnya adalah milik dan untuk kegunaan khusus perayu,” demikian menurut petisyen itu.
Ujarnya, hakim bicara tidak mempertimbang semua keterangan yang dikehendaki atau membuat penilaian yang adil terhadap kes pembelaan. – MalaysiaGazette















