V. Ganabatirau

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan digesa untuk mengubah dasar matrikulasi berhubung kuota kemasukan pelajar berdasarkan kaum selaras dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Kerajaan.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau di Dewan Rakyat ketika mencelah sesi penggulungan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkaitan Belanjawan 2023 Peringkat Jawatankuasa.

Ganabatirau berkata, di bawah Malaysia Madani tidak seharusnya terdapat dasar yang tidak adil.

“Menteri saya minta tadi, ayat terakhir tadi ubah dasar sebab kita kerajaan madani, kerajaan yang adil. Tidak patut ada ketidakadilan itu yang saya minta,” kata Ganabatirau.

Ahli Parlimen DAP itu mempersoalkan mengapa terdapat dua peperiksaan untuk masuk ke universiti yang sama.

“Menteri, saya telah menyatakan Tingkatan 6 dan Matrikulasi. Kenapa ada dua peperiksaan yang berbeza untuk masuk universiti yang sama?

“Maksud saya nak jadi doktor, peguam kenapa kita ada perbezaan ini?” soal beliau.

Sementara itu Fadhlina berkata, terdapat perbezaan antara Tingkatan 6 dan Matrikulasi.

“Saya terangkan dasar dulu Yang Berhormat. Tingkat 6 adalah dasar, Matrikulasi adalah program.

“Tingkat 6 kami tidak boleh mansuhkan. Program matrikulasi kami boleh masuhkan. Itu dasar.

“Sebab itu saya kata beza jauh. Tak boleh nak samakan Tingkatan 6 dan Matrikulasi itu sama,” kata beliau.

Fadhlina bersetuju terdapat kuota berasaskan kaum bagi kemasukan ke Matrikulasi manakala kemasukan ke Tingkatan 6 mengikut kelayakan dan terbuka kepada semua.

Sementara itu Fadhlina berkata, kementerian menerima banyak pandangan terutama daripada ibu bapa agar sesi pembukaan persekolahan dikembalikan ke bulan Januari.

“Kementerian Pelajaran Malaysia telah bersetuju untuk mengembalikan sesi persekolahan ke bulan Januari secara prinsip tapi bukan dalam masa terdekat.

“Kerana kita mengambil faktor yang perlu kita selesaikan berdasarkan kepada pematuhan Akta Pendidikan.

“Perancangan KPM untuk mengembalikan kalender akademik persekolahan pada Januari dan berakhir Disember perlu memastikan silibus matapelajaran dapat diselesaikan selain tidak menggangu jadual peperiksaan,” ujarnya

Katanya, KPM juga perlu mematuhi bilangan persekolahan tidak boleh kurang daripada 190 hari dalam tempoh setahun.-MalaysiaGazette