Home Di Luar Sempadan Konflik Syria: 12 Tahun Terperangkap Dalam Azab

Konflik Syria: 12 Tahun Terperangkap Dalam Azab

Wajah yang berbeza sering menjadi perhatian terutama kanak-kanak. Gambar ini dirakam di As Sahil, Latakia, Syria.

Jika dibandingkan sedekad lalu, manisan seperti baklava, kunafa, barazek (sejenis biskut bijan), mshabak dan macam-macam lagi manisan daripada Syria menjadi ole-ole istimewa mereka yang pulang dari sana.

Tetapi kini, andai teringin tidak perlu ke negara itu atau tempat lain di Asia Barat, pergi sahaja ke kawasan tertentu di Lembah Klang khususnya Bukit Bintang, segala aneka ada di sana.

Jika rindukan aura negara Arab, tidak perlu terbang jauh, pergi sahaja di sekitar Ain Arabiya, ‘biah’ atau ambience, ada di sana.

Kunafa antara manisan Arab yang semakin popular di negara ini.

Sama ada perasan atau tidak, sejak beberapa tahun lalu seakan ada ‘revolusi’ makanan Arab di negara ini dan ia sememangnya dipopularkan diaspora daripada sana.

Cerita makanan bagi kita di sini, cukup indah ia menambah kepelbagaian juadah yang akan membantu Kuala Lumpur menjadi ibu kota gastronomi bertaraf dunia.

Namun, di sebalik populariti makanan Asia Barat khususnya Syria, ada cerita sedih yang ketika ini lebih lima juta rakyatnya terperangkap dalam konflik sehingga menjadi pelarian di negara sendiri, khususnya di bahagian utara.

Itu tidak mengambil lebih enam juta juta lagi yang tersebar ke serata dunia yang turut membawa bersama nilai dan budaya.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), sehingga 2023, terdapat 3.6 juta pelarian Syria di Turki, menjadikannya negara paling ramai menempatkan mangsa konflik.

Penulis bersama pemilik kedai kopi ketika berada di bandar Idlib, Syria.

Mereka yang menjadi pelarian membawa bersama harapan dan impian untuk menikmati kebebasan yang didorong dengan kebangkitan pada 15 Mac 2011 di Daraa yang dianggap sebagai detik pencetus kebangkitan rakyatnya menentang kezaliman pentadbiran Bashar al Assad.

Ketika itu, selepas lebih 50 tahun diperintah secara kuku besi oleh dinasti Al Assad, lebih separuh populasi penduduknya bangkit menentang secara aman, sehinggalah dibantai dengan pelbagai siri kekejaman yang kemudian memaksa mereka mengangkat senjata.

Dari saat kebangkitan sehingga ke saat ini, tiada angka jelas mengenai jumlah korban sebenar walaupun beberapa pihak mendakwa ia telah mencecah hampir sejuta nyawa.

Perangkaan rasmi Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) hanya melaporkan 306,887 orang awam telah terbunuh antara 1 Mac 2011 sehingga 31 Mac 2021.

Itu angka mereka yang telahpun meninggalkan alam fana. Apa yang menjadi isu sekarang adalah kelangsungan mangsa yang terperangkap

Kemelut yang berlaku di negara itu mengambil masa dan perincian untuk difahami kerana ia bukan sekadar pertembungan mazhab Sunnah dengan Syiah.

Jika diringkaskan dalam bahasa yang mudah, rakyat Syria telah menjadi mangsa percaturan kuasa besar dunia termasuk negara jiran Arab dan Israel yang dengan sengaja mewujudkan ketidak stabilan di situ.

Kini, selepas 12 tahun, sengsara yang ditanggung mangsa konflik khususnya di utara tidak banyak berubah.

Khemah berganti khemah, itu yang berubah!

Sebahagian kanak-kanak dalam gambar yang dirakam di Azaz, Syria ini tidak pernah merasa nikmat tinggal di dalam rumah.

Jika berkurangpun, serangan udara daripada tentera rejim Bashar dan sekutunya, Rusia yang menampakkan ketaraan sejak 2022.

Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Syria, Geir Pederson dalam kenyataannya pada Januari 2023 berkata rakyat Syria kekal terperangkap dalam krisis kemanusiaan, politik, ketenteraan, keselamatan, ekonomi dan hak asasi manusia yang sangat rumit dan skala yang hampir tidak dapat dibayangkan.

Konflik Syria memasuki semula arus media di negara ini bulan lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan sebanyak RM10 juta selepas bahagian utara negara itu terkesan akibat gempa pada 6 Februari lepas.

Namun, realiti yang perlu difahami penghantaran berkenaan tidak memberi apa-apa makna kepada berjuta-juta rakyat Syria yang menjadi mangsa bencana yang berada di Idlib, utara Aleppo seperti Afrin dan Hama yang selama ini diperangi rejim Bashar sejak hampir 12 tahun lalu.

Kini hampir dua bulan, ia masih menjadi tanda soal kerana tidak banyak kemaskini dan perincian mengenai bantuan yang disalurkan ke kawasan berkenaan.

Di bahagian utara yang dikuasai kumpulan anti kerajaan yang hanya boleh diakses melalui bahagian selatan dan tenggara Turkiye, dugaan datang bertimpa-timpa dan yang mereka mampu harapkan hanya ihsan masyarakat dunia.

Cuma di bulan Ramadan, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif semula menggerakkan kempen, satu usaha murni yang wajar dipuji tetapi ia lebih bersifat ‘one off’ dan selepas berbelas tahun pendekatan baharu perlu diambil dengan melihat kepada ‘sustainable project’ bagi membolehkan pelarian Syria memulakan hidup baharu yang lebih bermakna.

Sesuatu yang perlu dihadam, kempen bermusim tidak lagi relevan dalam konflik yang panjang.

Bersambung…