Kamarul Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Pemansuhan beberapa skim yang berkaitan kepentingan rakyat oleh kerajaan  mendorong Dewan Pemuda Pas Selayang tampil menuntut penjelasan.

Ketuanya, Kamarul Jamaluddin berkata, setakat ini, dua kemudahan yang disediakan kerajaan terdahulu kepada rakyat telah dimansuhkan.

Kata beliau, dua kemudahan itu ialah Skim Rumah Pertamaku (SRP) untuk golongan muda dan menarik balik inisiatif pelepasan cukai simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

“Tindakan ini menyebabkan golongan B40 hidup dalam keadaan tertekan di bawah pentadbiran kerajaan. Memansuhkan Skim Rumah Pertama dan menarik balik inisiatif pelepasan cukai simpanan SSPN adalah suatu yang tidak masuk akal.

“Skim Rumah Pertama khususnya akan menyebabkan golongan muda yang baharu bekerja sukar memiliki rumah sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Rabu lalu, perbadanan pengurusan SRP, Cagamas Bhd. Mengumumkan pemansuhan skim itu mulai 1 April ini.

Individu yang berminat memohon pinjaman atau pembiayaan skim yang diperkenalkan sejak 2011 itu perlu mengemukakannya sebelum 31 Mac ini.

Sementara itu, semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim dilaporkan berkata, mulai Tahun Taksiran 2023, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.

Memetik laporan Nanyang Siang Pau, Steven mengesahkan kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN atas pelbagai sebab.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata, kerajaan sekarang dianggap tidak cakna dan seolah menindas rakyat apabila simpanan SSPN tidak lagi mendapat inisiatif daripada kerajaan.

Sedangkan, katanya, simpanan SSPN merupakan salah satu tabung pendidikan yang dilindungi kerajaan. – MalaysiaGazette