Ab Rauf Yusoh. Foto HAZROL ZAINAL, 22 MAC 2023.

MELAKA – Melaka dijangka bakal mendapat Ketua Menteri baharu Jumaat ini menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang dikatakan akan melepaskan jawatannya dalam tempoh terdekat.

Jawatan beliau hampir pasti akan digantikan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh – nama yang sering menjadi spekulasi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 lalu.

Menurut sumber terdekat Pejabat Ketua Menteri, istiadat angkat sumpah akan diadakan di Istana Melaka pukul 3 petang Jumaat ini.

“Angkat sumpah dihadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam akan diadakan di Istana Melaka pukul 3 petang.

“Sekarang ini, kita cuma tunggu arahan selanjutnya daripada SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri),” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.

Petugas media berkumpul di lobi Pejabat Ketua Menteri untuk mendapatkan komen Sulaiman

“Saya tak nak ulas lanjut, sehingga ada makluman seterusnya,” katanya yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindusrian Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri.

Dalam pada itu usaha kira-kira 10 petugas media mendapatkan komen Sulaiman selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri tidak berhasil apabila beliau yang juga ADUN Lendu beredar sebaik sahaja mesyuarat selesai.

Kelmarin, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatannya ke Melaka memberi bayangan negeri ini sedang menuju proses membentuk Kerajaan Perpaduan seperti dipamerkan kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette.