Timbalan Menteri Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan peka dengan masalah kesesakan trafik di plaza tol di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata, memang benar bilangan pengguna yang membayar tol mengguna touch n go, Smart Tag dan RFID masing-masing pada kadar, 60, 16 dan 18 peratus.

Menurutnya, kerajaan telah menyediakan pilihan kepada pengguna bagi tujuan pembayaran tol sama ada melalui Smart Tag atau RFID.

“Inisiatif baharu kepada pilihan kaedah pembayaran oleh pengguna lebuh raya, Kementerian Kerja Raya (KKR) giat menjalankan rundingan bersama syarikat konsesi bagi melaksanakan sistem pembayaran terbuka (OPS).

“Sebagai permulaan sebanyak 11 lebuh raya akan menjalankan sistem ini yang membolehkan pengguna menggunakan e-wallet, kad debit dan kad kredit untuk membayar tol.

“Sistem ini dijangka dilaksanakan pada September ini,” katanya dalam sesi Kamar Khas Persidangan Dewan Rakyat di sini, petang ini.

Menurut Abdul Rahman, 11 lebuh raya iaitu ialah Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim, Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baharu Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie, Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Damansara-Puchong, Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Terowong Smart dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya.

Sementara itu, katanya, sebanyak 12 lorong tambahan RFID di plaza tol terpilih telah disediakan.

Kata beliau, KKR sentiasa mengadakan sesi libat urus dari semasa ke semasa bersama pihak berkepentingan bagi memastikan perkhidmatan kepada pengguna dapat dipertingkatkan. – MalaysiaGazette