Naufal ketika menerima pingat di Metz France.

KUALA LUMPUR – Muhammad Hanif Naufal Mohd Mazni, 23, alumni Kolej Komuniti Selayang (KKSY) menempa nama di persada antarabangsa apabila berjaya membawa pulang pingat gangsa bagi kategori ‘Restaurant Services’ dan dianugerahkan ‘Medallion of Excellence for Malaysia Team’ dalam Pertandingan Abilimpik Peringkat Antarabangsa ke-10 tahun 2023 yang diadakan di Perancis baru0baru ini.

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Naufal telah menjalani latihan intensif daripada tahun 2019 bagi memastikan beliau bersedia dalam pertandingan yang berprestij ini.

Naufal merupakan alumni Sijil Asas Kulinari KKSY kategori golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Pembelajaran.

Kejayaan Naufal bermula pada 2018 apabila menyertai Pertandingan Abilimpik Peringkat Kebangsaan dan berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut bagi bidang yang sama. Kejayaan itu memberi peluang kepada Naufal untuk menyertai pertandingan peringkat antarabangsa ini.

“Kejayaan saya ini adalah hasil daripada sokongan dan komitmen yang tinggi daripada keluarga, pensyarah, Fazlilawati Mohd Fadzil dan rakan-rakan sekeliling. Tanpa dorongan mereka, tidak mungkin saya akan berada disini mencapai kejayaan dan menempa nama di persada antarabangsa.

“Kolej Komuniti Selayang telah banyak membantu saya meningkatkan kemahiran dalam bidang kulinari, lebih-lebih lagi “Restaurant Services”. Walaupun saya mengambil Sijil Asas Kulinari, tetapi itu tidak menghalang saya untuk mempelajari selok belok industri hospitaliti yang lain”, katanya saat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, malam tadi.

Komitmen tinggi daripada tenaga pengajar, Fazlilawati Fadzil dalam memberikan peluang latihan intensif dengan pakar negara industri “Restaurant Services”, Mohd Jeffri, adalah batu loncatan buat Naufal untuk pertandingan ini dan ingin mendapatkan kemenangan meskipun gentar untuk bersaing dengan pelbagai peringkat peserta dari negara-negara lain.

Kata Naufal, OKU bukan penghalang untuk mengejar impian dan setiap individu perlu sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap peluang yang datang serta mengejar impian untuk meningkatkan peluang golongan OKU dalam menambah baik kehidupan di masa hadapan.

Selain Naufal, dua pelajar dari Politeknik turut meraih kemenangan dengan pingat perak bagi kategori ‘Painting and Waste Art’ oleh Nur Amiratul Farahin Ab Rahman, 23, alumni Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan pingat gangsa kategori ‘Cake Decoration’ oleh Wan Muhammad Hafizunif Wan Roslan, 27, dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).

Penyertaan dalam pertandingan kemahiran ini memberi impak dan manfaat besar kepada pelajar dan juga Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) yang mana ia dapat mengiktiraf tahap kemahiran pelajar serta menanda aras tahap kemahiran pelajar PolyCC.

Pertandingan ini melibatkan sebanyak 410 orang peserta dari 22 negara dan 45 kategori dipertandingkan dan seramai 16 peserta OKU termasuk enam (6) dari Politeknik dan Kolej Komuniti dari pelbagai bidang kemahiran telah mewakili negara ke pertandingan tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast