Suasana di sekitar Pelabuhan Klang dan Port Klang Free Zone di Ibu Pejabat Port Klang Free Zone (PKFZ), Pelabuhan Klang.

KUALA LUMPUR – Berikutan pengembangan dua angka selama dua tahun berturut-turut, pertumbuhan eksport kasar Malaysia diunjurkan mencatatkan pertumbuhan yang sederhana sama seperti trend dalam ekonomi lain, sejajar dengan prospek pertumbuhan global yang lebih lemah, terutamanya daripada ekonomi maju yang menjadi rakan perdagangan utama Malaysia.

Namun begitu, kesannya akan diimbangi oleh pembukaan semula ekonomi China dan pertumbuhan yang berterusan dalam ekonomi serantau.

Eksport perkilangan yang mencakupi 84% daripada jumlah eksport Malaysia, diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 2.7% pada tahun 2023 (2022: 22.3%) disebabkan oleh pertumbuhan segmen E&E dan bukan elektrik dan elektronik (E&E) yang menjadi sederhana.

Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 berkata, permintaan yang perlahan terhadap keluaran elektronik pengguna dijangka menjejaskan jualan semikonduktor globali disokong oleh pemahaman daripada pengawasan ekonomi serantau yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), yang menunjukkan sebilangan syarikat E&E telah mula mengalami jumlah pesanan yang lebih rendah.

Walau bagaimanapun, penggunaan automasi dan pendigitalan yang lebih meluas pada peringkat global akan terus memberikan sedikit sokongan asas kepada eksport pada tahun 2023.

Permintaan luaran yang lebih perlahan juga akan menjejaskan eksport segmen perkilangan bukan E&E.

Namun, keadaan ini sebahagiannya akan disokong oleh peningkatan pengeluaran loji penapisan minyak utama di Johor.

Eksport komoditi diunjurkan menurun sebanyak 5.0% pada tahun 2023 (2022: 41.7%), didorong terutamanya oleh harga komoditi yang lebih rendah. Harga minyak sawit mentah dijangka menjadi sederhana selepas mencapai paras tertinggi pada tahun 2022, yang menjejaskan eksport pertanian. Hal ini lebih daripada mengimbangi peningkatan dalam pengeluaran minyak sawit berikutan isu kekurangan pekerja yang semakin pulih.

Harga mineral yang lebih rendah, bersama-sama dengan permintaan terhadap minyak global yang lembap, juga akan menjejaskan pertumbuhan eksport mineral pada tahun 2023.

Risiko terhadap pertumbuhan eksport cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan, disebabkan terutamanya oleh permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan dan ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.

Walau bagaimanapun, terdapat risiko pertumbuhan menjadi tinggi kepada pertumbuhan eksport termasuk pemulihan lebih pantas di China yang boleh memberikan sokongan kepada aktiviti perdagangan global.

Pertumbuhan import kasar diunjurkan menurun kepada 1.1% pada tahun 2023 (2022: 31.3%), disebabkan oleh peningkatan permintaan dalam negeri yang lebih sederhana dan pertumbuhan eksport perkilangan yang lebih perlahan.

Manakala import barangan pengantara dijangka mencatatkan pertumbuhan yang lebih kecil berikutan peningkatan inventori yang lebih perlahan dalam keadaan gangguan rantaian bekalan yang semakin pulih.

Pengembangan permintaan dalam negeri yang berterusan, walaupun pada kadar yang lebih sederhana, akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan import barangan penggunaan dan modal. – Malaysiagazette