Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih mengkaji dan meneliti dakwaan kempen Perikatan Nasional semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah dibiayai syarikat judi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri  Azalina Othman Said berkata, tindakan mengkaji dan meneliti maklumat tersebut untuk dibangunkan sebagai asas penyiasatan SPRM.

Azalina berkata demikian menjawab soalan lisan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin mendapatkan perkembangan siasatan berhubung dakwaan kempen Perikatan Nasional di dalam PRu15 yang lalu turut dibiayai oleh dana syarikat perjudian.

Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN dibiayai dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Anwar dalam laporan media dipetik sebagai berkata, dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 5 Disember lalu. – MalaysiaGazette