KUALA LUMPUR – Bank Rakyat hari ini mengumumkan dividen sebanyak 15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 2022 dengan jumlah pembayaran sebanyak RM426.77 juta.
Pengumuman dibuat oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Mengumumkan mengenai perkara itu Ewon berkata, pembayaran dividen berkenaan akan dibuat bermula hari ini.
“Bank Rakyat hari ini berbesar hati mengumumkan dividen 15 peratus dengan jumlah sebanyak RM426.77 juta kepada 799,511 anggotanya yang layak bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
“Bank Rakyat masih lagi mengekalkan prestasi kadar dividen berjumlah dua digit untuk tempoh lebih 30 tahun.
“Syabas dan tahniah atas pencapaian dan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Bank Rakyat setelah hampir lebih tiga dekad,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Sementara itu pada sidang media sama Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, kumpulan Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lepas sebanyak RM1.7 bilion berbanding RM1.63 bilion pada tahun seeblumnya.
Menurutnya, keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras, meskipun ketidaktentuan ekonomi susulan pasca-pandemik
“Pencapaian ini turut didorong oleh pendapatan operasi kumpulan yang meningkat sebanyak 3.42 peratus kepada RM5.90 bilion berbanding RM5.71 bilion sebelum didorong oleh pertumbuhan pembiayaan yang kukuh dalam segmen perbankan runcit serta dibantu oleh pergerakan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
“Kumpulan turut berjaya mempamerkan disiplin dan pengurusan kos yang efisien dicerminkan oleh kadar nisbah kos kepada pendapatan yang sihat sebanyak 39.79 peratus iaitu lebih rendah daripada purata industri 44.20 peratus,” ujarnya. – MalaysiaGazette