Ahmad Zahid Hamidi. Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO telah mencadangkan Pengerusi Badan  Perhubungan Melaka parti itu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri baharu bagi menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, nama Ab Rauf  diserahkan kepada Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam baru-baru ini.

“Saya telah mengutuskan warkah kepada TYT Melaka untuk menerima surat peletakan jawatan Sulaiman. Dengan ini parti melalui warkah itu mencadangkan Datuk Seri Abd Rauf yang baharu,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Sulaiman.

Sulaiman berkata, beliau meletak jawatan atas faktor kesihatan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, barisan Exco kerajaan negeri berkenaan akan mengambil semangat Kerajaan Perpaduan.

“Saya membincangkan perkara ini (barisan Exco). Oleh kerana kita mengambil semangat kerajaan Perpaduan yang telah berjalan baik di peringkat nasional, saya yakin semangat itu akan dihilirkan ke Melaka supaya optik yang baik dapat diperlihatkan kepada bukan sahaja rakyat Melaka tetapi rakyat Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sulaiman ni dari awal results PRN orang dah tendang tapi dia macam kera dapat bunga tidak tahu maksudnya. Rauf tu sebelum mengundi dah mengasah Zahid Hamidi.
    Elok pun alasan kesihatan tu digunakan sebab tiada kekuatan langsung. good bye Sulaiman jika bertambah nazak elok adakan PRN kecil bagi kawan yang sihat bertanding menggalas tugas sebelum post kosong tetapi tidak berganti sehingga tarikh pembubaran. Rugi nanti rakyat Melaka…

Comments are closed.