Mahkamah tolak saman ftnah Khalid terhadap Abdullah.

KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu hari ini, menolak tuntutan ganti rugi fitnah yang difailkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad terhadap bekas Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat yasim.

Khalid memfailkan saman itu pada 2020 selepas satu posting yang dimuat naik di laman sosial Facebook Abdullah mengandungi gambar beliau bersebelahan gambar tin arak Carlsberg.

Penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu, Datuk Abazafree Mohd Abbas itu menolak tuntutan Khalid sebagai plaintif dalam kes itu dan memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM8,000 terhadap defendan.

Khalid yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Shah Alam pernah dikaitkan dengan Carlsberg itu apabila beliau dikatakan pernah berjanji mahu merobohkan kilang arak itu jika Pas menjadi kerajaan semasa kempen pilihan raya.

Khalid diwakili Peguam Hisham Fauzi dan Rusilawati Zakaria, manakala Abdullah Mat Yasim diwakili Peguam Nik Saiful Adli Burhan, Azwan Mat Hussain dan Raihana Ashikeen Ramlan. – MalaysiaGazette